KOTA KINABALU: Seorang warga emas pada mulanya menyangka khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterimanya daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi memberitahu beliau memenangi kereta Perodua Axia dihantar oleh sindiket penipuan. Namun menurut H'ng Mooi Kee, 60, dari Inanam, anak anak perempuannya membuat keputusan untuk menghubungi ibu pejabat BSN di Kuala Lumpur sendiri bagi mengesahkan perkara itu. "Ternyata SMS itu adalah betul dan tidak menyangka saya kali ini bakal dapat sebuah kereta. Sebelum ini saya juga pernah menang dua kali berturut-turut wang tunai RM100 hasil daripada cabutan bertuah Sijil Simpanan Premium (SSP) BSN. "Minimum saya menabung RM10 sebulan dan pada tahun 2008 wang simpanan saya yang terkumpul ketika itu saya pindah dan menyimpan melalui SSP dan hasilnya saya dapat kereta kali ini," katanya yang menabung sejak remaja. Pengarah Perniagaan BSN Sabah, Laudin Sundang dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyerahkan replika kunci kereta tersebut kepada H'ng. Cabutan Tempatan SSP bagi bulan Febuari itu berlangsung di Wisma BSN, Kuala Lumpur. Laudin berkata, bagi cabutan tahun ini, BSN menawarkan 13 buah Perodua Axia setiap bulan kepada pemenang cabutan tempatan. Pelanggan layak menyertai cabutan dengan membuat simpanan minimun RM10. Selain Perodua Axia, pelbagai hadiah menarik ditawarkan, katanya sambil menambah SSP merupakan produk simpanan patuh syariah berasaskan konsep mudharabah. Setakat ini terdapat 472 ejen BSN di Sabah.