KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai Malaysia Building Society Bhd (MBSB) susut 41 peratus kepada RM157.65 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac, 2015 berbanding RM266.96 juta dicatatkan pada tempoh sama tahun lepas. Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata perolehan bagi suku tersebut meningkat 3.5 peratus kepada RM690.6 juta berbanding RM667.11 juta sebelum ini, didorong oleh usahanya menembusi segmen korporat yang menghasilkan pertumbuhan aset yang kecil. Pendapatan sesaham bagi tempoh tersebut jatuh kepada 4.59 sen berbanding 8.37 sen pada tahun sebelumnya, disebabkan elaun untuk kerugian rosot nilai ke atas pinjaman yang tinggi, pendahuluan dan pembiayaan, dan pendapatan operasi yang rendah susulan pertumbuhan perolehan yang tinggi. Elaun untuk kerugian rosot nilai yang tinggi sejajar dengan program rosot nilai kumpulan itu yang berterusan, di bawah strateginya untuk menyelaraskan dasar-dasarnya dengan standard perbankan dan amalan terbaik industri. Mengenai prospek, MBSB berkata ia terus menumpukan kepada pengembangan segmen perniagaan korporat yang terus menunjukkan sumbangan positif, terutamanya pertumbuhan dalam pembiayaan korporat/aset pinjaman dan pendapatan manakala perniagaan runcit sederhana. -- Bernama