KUALA LUMPUR: Lenovo Malaysia pada Selasa melancarkan model A7000, telefon pintar pertama di dunia yang menampilkan teknologi audio Dolby Atmos. Ia dijual pada harga RM699, termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP). Ketua Negara, Foo Mun Yee, berkata telefon itu yang dilengkapi dengan teknologi audio memenuhi keperluan mereka yang bergantung kepada telefon untuk menikmati muzik, video atau bermain permainan. Selama enam minggu bermula dari 20 Mei dan dengan kerjasama Lazada Group, A7000 akan dijual melalui Lazada.MY dengan harga RM625 termasuk CBP, kata beliau pada majlis pelancaran model telefon itu pada Selasa. Penjualan telefon pintar itu akan dibuat secara eksklusif merentasi enam negara di Asia Tenggara di mana Lazada beroperasi. "Pendaftaran untuk pembelian bermula hari ini dengan jualan besar-besaran bermula 20 Mei ini," katanya. Ketua Pegawai Komersial Lazada Malaysia, Christian Nill berkata A7000 merupakan model terbaik untul Lazada jual di laman webnya. Pada tahun 2014, Lenovo menjual 25 juta peranti keluarannya di seluruh dunia, dan angka ini dijangka meningkat kepada 100 juta pada tahun ini.