suria

Kontrak Luar Negara SapuraKencana Beri Isyarat Industri O&G Kembali Aktif

KUALA LUMPUR: Kontrak luar negara bernilai RM1 bilion yang diperoleh SapuraKencana Petroleum Bhd merupakan petunjuk awal mengenai peningkatan aktiviti minyak dan gas (O&G) selepas kejatuhan harga minyak sejak beberapa bulan yang lepas, kata Kenanga Research.

Ia juga berkata projek di Mexico itu yang merupakan projek pertama SapuraKencana dalam industri O and G di negara terbabit, membuka peluang besar dalam tempoh jangka panjang.

"Kami akan menyemak secara keseluruhan sektor O and G selepas sesi pelaporan semasa berakhir dengan memihak kepada peningkatan," kata firma penyelidikan itu dalam notanya hari ini.

Bagaimanapun, Kenanga Research berkata kontrak itu tidak mengejutkan memandangkan sudah ada cakap-cakap dalam pasaran beberapa minggu lepas bahawa kumpulan itu memperoleh kontrak di luar negara.

"Walaupun tempoh kontrak itu tidak dinyatakan, kami yakin ia membabitkan tempoh satu hingga dua tahun, yang akan memberi sumbangan positif kepada kumpulan itu dalam tahun kewangan (FY) 2016 dan 2017," katanya.

Kenanga Research berkata ia sudah mengambil kira pemerolehan itu dalam unjurannya dengan hasil tambahan sebanyak RM500 juta pada FY16 dan FY17 dalam model kewangannya.

Ia mengekalkan saranan 'berprestasi pasaran' ke atas SapuraKencana dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.24.

SapuraKencana melaporkan memperoleh enam kontrak yang membabitkan pemasangan pelbagai Struktur luar pesisir di Mexico, Indonesia, Vietnam dan India, kesemuanya bernilai US$269 juta (RM969 juta).

Sementara itu, CIMB Equities Research berkata pelabur wajar mengumpul saham SapuraKencana.

Firma penyelidikan itu berkata kontrak itu yang sudah dimasukkan dalam unjurannya akan meningkatkan projek dalam tangan SapuraKencana sebanyak empat peratus kepada kira-kira RM26.7 bilion.

"Kami memahami bahawa pengurusan menyasarkan untuk memperoleh sekurang-kurangnya RM1.0 bilion projek baharu tahun ini bagi menambah kepada hasil RM6.5 bilion sedia ada yang disasarkan untuk FY1/17.

"Lebih banyak kontrak pemasangan dan penggerudian di Amerika Utara dan Selatan serta India mungkin menyumbang sebahagian daripada tambahan RM1.0 bilion itu," katanya.

CIMB Equities Research berkata projek dalam tangan yang besar selain leveraj yang baik dalam pasaran antarabangsa memberikan syarikat itu kelebihan berbanding saingannya.

Ia mencadangkan penarafan 'tambah' ke atas SapuraKencana, dengan harga sasaran RM3.14.

Pada 11.04 pagi, saham syarikat itu mencatatkan RM2.77, susut satu sen berbanding penutupan semalam. Sejumlah 2.89 juta saham bertukar tangan.-- Bernama

SapuraKencana, O&G, Mexico

Artikel Lain