KUALA LUMPUR: Syarikat telekomunikasi (Telco) di negara ini menyatakan sokongan mereka terhadap gesaan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berhubung pemberian kadar lebih rendah untuk pelanggan. Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Celcom Axiata Datuk Seri Shazalli Ramly berkata syarikat telah memperkenalkan pelan inovatif dan berpatutan seperti 'New Internet of Xpax' yang menawarkan Internet tanpa henti selain membenarkan pelanggan membawa data Internet yang tidak digunakan ke depan. "Ciri bawa ke depan ini unik dan terpakai untuk semua pelan baharu dan Celcom merupakan yang pertama dan satu-satunya telco yang memperkenalkan ciri ini di negara ini. "Selain itu, sejak pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan, Celcom memberi masa berbual dan pesanan teks percuma kepada pelanggannya yang menambah nilai RM5 dan ke atas," katanya. Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Perhubungan Korporat DiGi Telecommunications, Eugene Teh berkata menjadi keutamaan syarikat memastikan semua rakyat Malaysia mendapat akses Internet pada kadar berpatutan dan ia telah mengumumkan pakej serta gabungan produk bagi pelanggan yang utamakan harga. CEO U Mobile Wong Heang Tuck pula berkata, cadangan menteri itu seiring dengan pendirian syarikat untuk menawarkan produk dengan nilai terbaik kepada pelanggan pada kadar paling berdaya saing.-- Bernama