IPOH: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menjalinkan kerjasama dengan The Haven Luxury Resort bagi memperkasakan industri ekopelancongan di Perak. Naib Presiden Kanan Perkhidmatan Teknikal KTMB, Hilmi Mohamad berkata menerusi kerjasama itu, pihaknya turut dapat mempromosikan aktiviti 'rail tourism' yang menggalakkan pelancong khususnya dari Singapura dan Indonesia menggunakan perkhidmatan tren mengunjungi tempat-tempat menarik di Semenanjung Malaysia. "KTMB merupakan pilihan pengangkutan awam utama di Semenanjung manakala The Haven Luxury Resort merupakan hotel yang dikelilingi dengan kehijauan ekosistem Bukit Batu Kapur, Ipoh yang dijangka dapat menarik lebih ramai pelancong untuk mengunjungi negeri Perak," katanya kepada pemberita selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di sini, Selasa. MoU itu ditandatangani Hilmi dan Ketua Pegawai Eksekutif The Haven Luxury Resort, Peter Chan dengan disaksikan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohamad Taiyab dan Exco Pelancongan, Kesihatan dan Kebudayaan Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi. Hilmi berkata, antara kerjasama yang dilakukan termasuk menawarkan penginapan selama dua hari satu malam di The Haven Luxury Resort kepada 120 penumpang KTM Intercity dan ETS yang bertuah mulai 15 Jun hingga 15 Ogos ini. "Kempen ini melibatkan pencarian sebanyak 120 penumpang yang memiliki tiket dengan nombor sirinya diakhiri dengan tiga digit nombor iaitu '333' dan '888' yang bakal memenangi pakej tersebut," katanya. Katanya, selain itu, program kerjasama ini turut menawarkan 'Travel and Stay Package' untuk pasangan yang ingin berbulan madu ataupun menyambut ulang tahun perkahwinan atas koc eksklusif keretapi. "Pakej itu merangkumi perjalanan bersama dengan Koc Salun Khas KTMB dari Kuala Lumpur atau Singapura ke Ipoh dan penginapan di The Haven Luxury Resort. Selain itu, mereka juga boleh mendapatkan pakej Eco Travel ke Ipoh dengan harga istimewa yang ditawarkan kepada penumpang KTMB, katanya. Sementara itu, Nolee Ashilin berkata melalui kerjasama itu juga lebih banyak produk pelancongan Perak, khususnya di Ipoh dapat diperkenalkan kepada pelancong dari dalam dan luar negara. "Ipoh terkenal dengan pelbagai produk pelancongan bersifat alam semulajadi dan masih mengekalkan ekosistem yang baik, mampu memberikan ketenangan jiwa kepada sesiapa yang datang berkunjung ke sini," katanya.-- Bernama