SINGAPURA: Semua penerbangan Jetstar Asia yang tiba dan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Malaysia akan berpindah ke terminal KLIA2 bermula 8 Julai, 2015. KLIA2 terletak kurang dua kilometer dari Terminal Utama KLIA dan dihubungkan dari KL Sentral menerusi KLIA Express dan KLIA Transit. Jetstar dalam satu kenyataan berkata tiada sebarang perubahan dalam jadual penerbangan, pengendalian darat, kemudahan daftar masuk atau masa daftar masuk. Bagaimanapun, penumpang yang berpindah antara Terminal Utama KLIA dan KLIA2 perlu membuat pemeriksaan imigresen dan mengutip beg mereka yang telah diperiksa sebelum boleh berpindah ke penerbangan seterusnya. Penumpang dinasihatkan mendaftar masuk di lapangan terbang sekurang-kurangnya dua jam sebelum berlepas dan diingatkan memperuntukkan masa yang mencukupi bagi pindahan tempatan mereka ke dan dari lapangan terbang KLIA. Penumpang yang menempah bagi perjalanan antara Singapura dan Kuala Lumpur pada dan selepas hari ini (2 Jun) akan menerima emel dikemas kini berkaitan lokasi lapangan terbang baharu itu. Perkhidmatan daftar masuk web terus ke get akan terus disediakan kepada penumpang di terminal baharu itu. Ketika ini Jetstar Asia menawarkan 30 penerbangan mingguan antara Singapura dan Kuala Lumpur. -- Bernama