KUALA LUMPUR: Sandvik South East Asia Pte Ltd kini bersedia menawarkan kepakarannya bagi kerja-kerja penggerudian laut dalam melebihi 3,000 meter menggunakan peralatan sistem tiub Sandvik SAF 3207. Menurut Pengurus Jualan dan Pemasaran Minyak dan Gas Bagi Asia Pasifik, Benno Wagner, syarikat berpejabat di Sweden itu sudah melancarkan sistem berkenaan dan kini kepakaran itu ditawarkan bagi projek di Teluk Mexico dan Afrika Barat. "Kami sudah bersedia memberikan perkhidmatan ini kepada kalangan penggiat industri," katanya pada sidang media selepas menyerahkan peralatan generasi terkini yang berprestasi tinggi itu di pameran Minyak Dan Gas Asia yang sedang berlangsung, di sini, Selasa. Wagner turut menyifatkan pameran dua hari itu sebagai platform bagi syarikat berkenaan memaparkan keupayaannya sebagai peneraju bahan anti hakisan dan bahan mentah generasi baharu yang berprestasi tinggi. Syarikat itu terbabit dalam usaha pembangunan serta pengeluaran bahan keluli tahan karat, aloi khas, titanium dan bahan mentah lain bagi syarikat fabrikasi dan minyak sejak 20 tahun lepas di hampir semua wilayah luar pesisir. Petronas adalah pelanggan Sandvik.