suria

Harga Kereta Ferrari, Maserati Tidak Berubah

PETALING JAYA: Harga kereta Ferrari dan Maserati di Malaysia akan dikekalkan biarpun selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) serta penyusutan ringgit.

Naib Presiden Kanan II Unit Kenderaan 4 Roda NAZA World Group, David Hector Ratnaike, turut menyifatkan prospek jualan bagi kedua-dua jenama itu masih baik yang menyaksikan syarikat itu menyasarkan jualan sehingga 120 unit Maserati dan 40 unit Ferrari, tahun ini.

NAZA Italia Sdn Bhd adalah pengimport dan pengedar tunggal kedua-dua jenama berkenaan di Malaysia.

"Penyusutan ringgit misalnya bukanlah sesuatu yang baharu dan sudah pasti sejumlah perlindungan nilai telah dilaksanakan dari segi pengurusan risiko supaya ia tidak memberi kesan langsung kepada pembeli," katanya pada sidang media selepas pelancaran pusat dua kereta itu yang diubahsuai, di sini, Isnin.

Naza Italia telah melabur sejumlah RM5 juta untuk proses ubah suai pusat yang juga bilik pameran dan terletak bersebelahan Naza Auto Mall.

Menurut Ratnaike, usaha jualan Naza Italia serta langkah berkaitan pengendalian jenama itu juga terbukti berjaya memastikannya kekal di kedudukan tiga teratas di Asia Tenggara serta wilayah Pasifik.

"Maserati mencatatkan jualan sebanyak 96 unit pada tahun 2014 manakala Ferrari 40 unit. Malah, sasaran ditetapkan untuk NAZA Italia tahun ini boleh dicapai berdasarkan usaha dan inisiatif yang berterusan," katanya.

Naza Italia juga, katanya, telah berusaha sedaya upaya untuk membawa masuk model idaman bagi setiap jenama, termasuk Ferrari 458, Ferrari FF, Ferrari California T dan F12berlinetta serta Ferrari yang ditunggu-tunggu iaitu 488 GTB serta model Maserati Quattroporte, GranTurismo, GranCabrio dan Ghibli. 

Ratnaike berkata, syarikat itu juga akan terus membawa masuk lebih banyak model baharu dua jenama itu pada masa akan datang yang turut menjadi platform untuk memperluaskan rangkaian jenama ikonik berkenaan.
-- BERNAMA

Ferrari, Maserati

Artikel Lain