KUALA LUMPUR: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) menyasarkan 250,000 unit rumah mampu milik diluluskan oleh lembaga pengarahnya menjelang akhir tahun ini. Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Abdul Mutalib Alias berkata lembagapengarah sudah meluluskan 153,000 unit di 10 lokasi di seluruh negara, kecuali Labuan. "Kami sudah pun menerima 1,016,000 permohonan untuk rumah PR1MA setakat ini, dan permintaan sangat menggalakkan," katanya kepada Bernama pada sesi pengundian bagi projek PR1MA@Cyberjaya 1 di sini pada Sabtu. Sesi pengundian itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah yang juga anggota lembaga pengarah PR1MA. Perumahan PR1MA disasarkan untuk rakyat Malaysia berpendapatan sederhana dengan purata pendapatan isi rumah antara RM2,500 dan RM10,000, berusia lebih 21 tahun dan belum memiliki lebih daripada satu hartanah individu atau keluarga. Unit terbabit dijual antara RM100,000 dan RM400,000. Mengulas dakwaan bahawa perumahan PR1MA semakin mahal, sehingga RM400,000,yang tidak mampu dibeli, Abdul Mutalib berkata dakwaan itu tidak benar. "Setakat ini perumahan kami tidak melebihi RM400,000, dan kebanyakan projek menawarkan harga antara RM250,000 dan RM300,000 seunit dan hanya ada beberapa unit berharga lebih RM350,000," katanya. Beliau berkata dasar membenarkan pembeli kali kedua membeli kediaman PR1MA bersama pembeli kali pertama, namun kelebihan diberikan kepada pembeli kali pertama. Ini bertujuan memberi peluang kepada mereka yang sudah memiliki rumah sebelum PR1MA ditubuhkan, yang jauh dari tempat kerja, untuk memiliki kediaman di lokasi yang ideal, katanya. Namun katanya nisbah peruntukan kepada pembeli kali pertama adalah lebih tinggi iaitu 9:1 mengikut lokasi dan mungkin 7:3 di tempat lain. Bagaimanapun katanya 90 peratus pemohon masih belum memiliki rumah. Mengenai pengundian projek PR1MA@Cyberjaya melibatkan 325 pangsapuri, syarikat itu menerima permohonan 16 kali lebih besar berbanding unit yang ditawarkan, Pemohon yang berjaya dijadual memilih unit masing-masing pada minggu ketiga Ogos. Abdul Mutalib berkata pada 2015, 6,240 unit kediaman menerusi lapan projek, akan diundi. Beliau berkata maklumat mengenai pengundian hari ini dimuat naik dalam akaun Facebook syarikat itu, dengan pemohon dimaklumkan menerusi e-mel sebelum proses terbabit. Ia merupakan inovasi yang boleh mengurangkan masa pemprosesan pengundian, katanya.