KUALA LUMPUR: Denko Industries Corp Bhd merancang mempelbagaikan operasinya ke dalam industri lain termasuk perladangan dan pembuatan bateri, bagi meningkatkan nilai pemegang sahamnya. Kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata ia merancang mengembangkan perniagaannya di Indonesia menerusi unitnya, Winsheng Plastic Industry Sdn Bhd, susulan hasrat kerajaan Indonesia untuk meningkatkan kandungan tempatan dalam sektor kereta, elektronik dan teknologi maklumat. "Kami akan membuka kilang pengacuan suntikan dan fabrikasi acuan canggih di Jakarta dengan teknologi peralatan terkini bagi memenuhi keperluan kandungan tempatan," katanya. Kumpulan itu berkata kekukuhan dolar AS sekarang telah mengukuhkan lagi kelebihan daya saing harga syarikat itu kerana produknya berasaskan eksport. Bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac, 2015, Denko mencatatkan hasil RM80 juta dan keuntungan bersih RM2.8 juta.