suria

87 Koperasi Di Bawah Mara Peroleh Pendapatan RM300 Juta

MELAKA: Sebanyak 87 koperasi di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang memperoleh jumlah pendapatan kira-kira RM300 juta setahun, disaran melakukan transformasi bagi menambah sumber pendapatan mereka.

Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad berkata sehubungan itu pengetahuan dalam bidang keusahawanan harus diterapkan kepada setiap anggota koperasi bagi menjana pendapatan jualan tahunan mereka.

Beliau berkata keusahawanan adalah bidang yang perlu dipraktikkan dalam koperasi kerana ia dapat menambah sumber pendapatan sekali gus menjana ekonomi setiap ahli.

"Koperasi perlu ada transformasi bermakna harus bermula dengan perubahan cara berfikir...setiap ahli perlu ada sifat keusahawanan untuk lebih maju bagi menambah pendapatan, bukan hanya berada pada takuk itu sahaja," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar 'Cooperative National Summit' 2015, di sini.

Menurutnya setiap koperasi perlu mengenal pasti dan merebut peluang yang ada bagi mencipta lebih banyak peluang dan ruang dalam perniagaan.

"Pergerakan koperasi ini boleh melibatkan ramai orang dan ia juga boleh cipta satu peluang baharu kepada masyarakat seperti peluang pekerjaan," katanya.

Kira-kira 320 peserta dari 87 koperasi di bawah Mara terlibat dalam seminar tersebut. -- Bernama




Mara, koperasi, Ibrahim Ahmad

Artikel Lain