KUALA LUMPUR: Perdagangan dua hala antara Malaysia dan Rusia dijangka bertumbuh pesat pada masa depan susulan kejayaan pertemuan Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov dan ahli perniagaan tempatan. Ini kerana kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) Tan Sri Dr Michael Yeoh, semasa pertemuan itu Lavrov menunjukkan minat mahukan lebih banyak perniagaan Rusia melibatkan diri di Malaysia. "Kami bercakap mengenai peluang-peluang perniagaan, dan ahli perniagaan Malaysia berkongsi pandangan tentang menjalankan perniagaan di Rusia serta mengusulkan idea agar masyarakat Rusia meningkatkan penglibatan dalam produk kewangan Islam. "Juga ada cadangan tentang lebih banyak pelancong Rusia datang ke Malaysia, tentang pelbagai projek prasarana yang boleh dikongsikan serta mengenai pembangunan hartanah," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat, di sini. Tahun lepas, perdagangan dua hala Malaysia-Rusia mencecah US$3.3 bilion, meningkat 25 peratus berbanding 2013. Yeoh juga berharap wujud perkongsian antara bank Malaysia dan Rusia pada masa depan bagi membangunkan industri kewangan Islam, terutama pasaran sukuk. Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Bhd, Benyamin Ismail tidak menolak kemungkinan memperluas laluan jarak jauh syarikat penerbangan bersekutu tambang rendah AirAsia Group itu ke Rusia pada masa depan, bagi merangsang industri pelancongan kedua-dua negara. "Ini (pertemuan) merupakan platform yang bagus untuk kami bertemu dengan duta dan tengoklah ke mana arah kami selepas ini. Kami akan meneliti sebarang kemungkinan destinasi (baharu) dan saya fikir Rusia antara destinasi yang boleh dicapai. "Perkara ini masih dalam peringkat awal dan pertemuan ini adalah permulaan yang bagus, namun bukan dalam masa terdekat. Ia (rundingan) mungkin akan bermula dalam tempoh dua tahun," katanya.