suria

U For Life Sasar Jual Polisi Hayat Bernilai Lebih RM200 Juta Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Penyedia platform insurans dalam talian, U for Life Sdn Bhd menyasarkan untuk menjual polisi hayat bernilai lebih RM200 juta menjelang akhir tahun ini.

Syarikat yang merupakan kerjasama antara penanggung insurans semula dunia, Hannover Re dan syarikat insurans Tokio Marine Life Insurance (M) Bhd, menawarkan kaedah mudah, segera dan berpatutan untuk membeli polisi insurans hayat dalam talian.

Pengurus Besarnya, Iskandar Ezzahuddin berkata sejak prapelancarannya pada Mei 2015, syarikat telah menjual polisi bernilai RM165 juta.

"Walaupun dengan keadaan ekonomi semasa, kami fikir kami berupaya mencapai sasaran itu," katanya kepada pemberita selepas pelancaran rasmi produk, di sini, Rabu.

Beliau berkata syarikat yakin produknya akan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia mendapatkan perlindungan insurans yang mencukupi memandangkan polisi yang ditawarkan sangat berpatutan dengan bayaran bulanan serendah RM9.85 bagi perlindungan bernilai RM100,000.

Iskandar berkata syarikat juga akan melabur sehingga RM5 juta bagi kegiatan promosi dalam tempoh 12 bulan akan datang untuk mewujudkan kesedaran akan pentingnya insurans hayat.

"Kami akan terus memperkukuh produk kami dan pada masa sama berharap untuk meningkatkan kadar penembusan insurans kepada 75 peratus penduduk menjelang 2020," katanya.

Sementara itu, Anggota Lembaga Eksekutif Hannover Re, Claude Chevre berkata perilaku pembelian pengguna kini berubah dengan penggunaan meluas teknologi.

"Menerusi teknologi kami berupaya mengenal pasti jurang dalam pasaran tempatan dan jumlah keseluruhan yang diinsuranskan pada masa ini mengesahkan platform dalam talian diterima oleh rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata platform dalam talian dibangunkan oleh firma pembangun perisian berpangkalan di New Zealand, Intelligent Life bagi industri insurans.-- Bernama




U For Lifr, Iskandar Ezzahuddin

Artikel Lain