SEREMBAN: Konsortium Yakin Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Yayasan Kemajuan Islam Nasional (YAKIN) merancang untuk membuka 400 outlet halal mart di Semenanjung Malaysia dalam tempoh empat tahun dalam usaha memperkukuhkan ekonomi Bumiputera. Pengerusinya, Senator Datuk Seri Syed Ibrahim Kader berkata, tiga outlet akan dibuka di Bangi, Kajang dan Seri Kembangan mulai 1 Januari depan. "Lepas itu kita merancang membuka 70 lagi outlet pada 2016 dan 105 outlet pada 2017, 111 outlet (2018) dan 111 outlet pada 2019. "Melalui halal mart ini belia Islam Bumiputera berpeluang menjadi usahawan yang berjaya dan ia akan hanya menjual produk halal keluaran Bumiputera," katanya kepada pemberita di sini, Sabtu. Syed Ibrahim berkata, selain 100 peratus halal, produk di outlet itu juga akan dijual dengan harga berpatutan. "Di samping memberi bimbingan kepada penguasa outlet berkenaan, Konsortium Yakin akan turut membekalkan barangan, terutama daripada pengusaha industri kecil dan sederhana kepada mereka," katanya.