suria

Al-Salam Akan Muktamadkan Pengambilalihan 3 Hartanah

KUALA LUMPUR: Unit pelaburan hartanah (REIT) Johor Corporation (JCorp), Al-Salam, dijangka memuktamadkan pengambilalihan tiga hartanah dalam tempoh dua tahun.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata hartanah berkenaan terletak di Kuala Lumpur dan Johor.

Syarikat itu dijangka mengumpul RM252.36 juta menerusi penyenaraian, dengan RM242.86 juta akan digunakan untuk membeli hartanah dan RM9.5 lagi untuk perbelanjaan penyenaraian.

"Kami merancang membeli lima aset dan tiga urus niaga dijangka selesai dalam tempoh dua tahun. Hartanah berkenaan hampir sama seperti yang kami sudah miliki sekarang -- bangunan pejabat, gedung membeli-belah, premis runcit makanan dan minuman dan bangunan kolej," katanya kepada pemberita selepas penyenaraian di sini, Selasa.

Pengambilalihan aset itu akan dilakukan menerusi unit dan tunai.

Ditanya mengenai lebihan hartanah di Johor, Kamaruzzaman berkata memandangkan aset syarikat itu kini terletak di kawasan strategik, isu itu tidak menjejaskan Al-Salam.

Kadar pendudukan aset-aset Al-Salam -- pusat membeli-belah Komtar JBCC dan @Mart Kempas melepasi 90 peratus manakala Kolej KFCH, beberapa premis KFC dan Pizza Hut serta gudang, pada tahap 100 peratus, katanya.

Aset sedia adanya secara kolektif bernilai RM903.14 juta.

Mengenai penyusutan nilai ringgit, beliau berkata pelabur Singapura kini memasuki Malaysia, yang memberi manfaat kepada syarikat itu.

Pada 10.47 pagi, harga saham syarikat itu mencatatkan RM1.07 sen, dengan  948.525 juta saham bertukar tangan.

JCorp, Al-Salam

Artikel Lain