KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bercadang untuk menjual salah satu hartanahnya di United Kingdom (UK), iaitu Reading International Business Park. Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, dana itu terus menerima tawaran bagi asetnya di negara tersebut. "Pada masa ini, ia bergantung kepada sama ada kami mendapat tawaran dan harga yang sesuai yang menjadikannya berbaloi untuk kami menjual aset itu," katanya pada sidang media di luar Sidang Kemuncak Ekuiti Persendirian Global 2015 di sini, Khamis. Turut hadir Pengerusi KWSP Tan Sri Shamsudin Osman dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) Mohamad Nasir Ab Latif. Shahril Ridza berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai status Reading International Business Park. Reading International Business Park dibangunkan pada 2001 oleh Arlington Business Parks Partnership Fund (ABPP). KWSP, melalui Deutsche Asset and Wealth Management, membeli hartanah itu dengan nilai 140 juta pada 2011 daripada ABPP. Menurut laporan berita, KWSP membuat tawaran sebanyak 150 juta untuk hartanah mewah itu. Memetik sumber industri, dana tersebut bekerjasama dengan Deutche Asset and Wealth Management bagi penjualan tersebut dan melantik ejen, DTZ, untuk menjual Reading International Business Park. Sumber itu juga berkata KWSP berpotensi untuk mengumpul lebih RM250 juta, dengan memanfaatkan kenaikan harga hartanah dan pertukaran asing jika urus niaga dimeterai dalam tempoh terdekat. Sehingga Jun 2015, pelaburan global KWSP membentuk 25 peratus daripada jumlah aset pelaburan dan menyumbang lebih 40 peratus kepada jumlah pendapatan terkumpul dana itu setakat ini tahun ini. Selain daripada UK, KWSP turut melabur dalam pasaran hartanah lain di luar negara seperti Perancis dan Jerman. Shahril Ridza juga berkata dana itu dijangka memberi dividen sebanyak 2.5 peratus serta inflasi tahun ini. "Ia masih bergantung kepada prestasi suku ketiga dan suku keempat. Memandangkan pasaran telah beralih sejak pertengahan tahun ini, saya kira kami akan berhati-hati dalam membuat sebarang unjuran bagi tahun ini. "Tahun ini tahun yang agak sukar untuk pasaran. Bursa Malaysia sendiri susut sebanyak 10 peratus sejak awal tahun ini dan penurunan yang sama dapat dilihat dalam semua pasaran di seluruh dunia," katanya.-- Bernama