KUALA LUMPUR: FedEx Corporation menyasarkan untuk mencatatkan sejumlah 317 juta penghantaran mulai hari ini sehingga malam perayaan Krismas, iaitu peningkatan sebanyak 12.4 peratus bagi perbandingan tahun ke tahun. Presiden FedEx Express bagi Asia Pasifik, Karen Reddington berkata di Malaysia misalnya, lebih 80 peratus penduduknya dijangka memiliki akses internet menjelang akhir tahun ini yang akan menggalakkan lagi pembelian secara dalam talian. "FedEx sudah memperhebatkan persiapan untuk menghadapi peningkatan mendadak jualan dalam talian bersempena cuti sekolah akhir tahun serta musim perayaan. "Persekitaran masyarakat yang saling berhubung ini menyumbang kepada 40 peratus transaksi rentas sempadan dalam keseluruhan jualan e-dagang di Malaysia, kebanyakannya melibatkan peruncit Amerika Syarikat dan China," katanya.-- Bernama