suria

Fama Sasar Jualan RM1.9 Bilion Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) menyasarkan peningkatan jualan produknya sebanyak RM1.9 bilion tahun depan berbanding RM1.7 bilion setakat ini.

Ketua Pengarah Fama, Datuk Ahmad Ishak berkata, sasaran itu yakin dicapai berdasarkan prestasi memberangsangkan setiap tahun dan trend peningkatan penjualan produknya iaitu kira-kira RM200 juta setahun.

"Penyumbang utama kepada peningkatan ini dijangka melalui projek Pasar Tani iaitu sebanyak RM800 juta sehingga Ogos tahun ini," katanya kepada Bernama selepas menjadi tetamu dalam rancangan 'Ala Carte' terbitan Bernama Radio24 sempena sambutan ulang tahun ke-50 Fama di sini, Jumaat.

Ahmad Ishak berkata selain pasar tani, projek lain termasuk Agrobaazar Kedai Rakyat 1Malaysia, Gerai Buah-buahan Segar (GBBS), Pasar Bergerak 1Malaysia dan Karavan Tani yang semakin mendapat sambutan.

Katanya, Fama berjaya mewujudkan sebanyak 71,564 usahawan pemasar dan meningkatkan jualan produknya dalam usaha menyumbang kepada agenda pembangunan negara khususnya dari segi peningkatakan ekonomi dan pembangunan usahawan serta menangani kos sara hidup rakyat.

Mengulas misi dan cabaran Fama selama 50 tahun, Ahmad Ishak berkata lembaga itu sentiasa memastikan ia kekal relevan sepanjang zaman dalam meningkatkan perkhidmatan pemasaran produk agro makanan negara ke tahap yang lebih tinggi.

"Sejak penubuhan Fama pada 30 Sept 1965 hingga 30 Sept 2015, Fama banyak berbakti kepada negara dalam membantu petani, usahawan Industri Asas Tani (IAT), pemasar dan pengguna di sepanjang rantaian bekalan agro makanan negara.

"Dalam tempoh itu juga, kita berjaya mendidik usahawan tani agar dapat memahami mengenai trend pemasaran, kompeten dalam menginterprestasi maklumat pasaran, faham dan mengadaptasi amalan dalam pemasaran agar produk dapat dipasarkan serta memperoleh pendapatan setimpal," katanya.

Selain itu, katanya Fama telah melahirkan usahawan berjaya sebagai pemasar, pengeksport, pemproses dan pengeluar, serta memperkenal dan mempromosikan produk agro makanan Malaysia ke peringkat antarabangsa.

Fama juga katanya, membeli hasil keluaran petani dalam pelbagai keadaan bagi memastikan petani yang tidak mampu menjual sendiri mendapat pasaran dan harga yang setimpal terutama apabila berlaku lambakan.

Mengulas acara sempena sambutan ulang tahun itu yang berlangsung dari 4 hingga 6 Disember depan di Dataran Merdeka, Ahmad Ishak berkata ia bakal mengadakan pelbagai aktiviti.

Antaranya, pesta Dagangan dan karnival/festival, pameran, promosi dan jualan, pendedahan dan perkongsian maklumat terkini, penonjolan usahawa muda, sajian makanan popular dan peluang berinteraksi serta membina jaringan perniagaan antara pemain dalam sektor pertanian.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka merasmikan sambutan berkenaan pada 3 petang, 5 Disember ini.

Objektif sambutan itu antara lain memberi pendedahan dan meningkatkan tahap pengetahuan masyarakat mengenai peranan Fama dan menawarkan perkhidmatan pemasaran kepada masyarakat umum khasnya kumpulan sasar, katanya.-- Bernama


Fama, Karavan Tani, Ahmad Ishak

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain