SANDAKAN: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyasarkan untuk mendaftar 2,000 koperasi berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) di seluruh negara menjadi anggotanya. Sehingga 31 Jun lepas, terdapat 12,498 koperasi di seluruh negara telah berdaftar dengan SKM dan 8,000 koperasi telah menjadi anggota Angkasa. Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata ke arah itu, pihaknya giat menjalankan kempen 'Jom Join Angkasa' (JJA) sejak tahun lepas dengan penyertaan kira-kira 1,600 koperasi pada siri JJA yang pertama di seluruh negara. "Pada gerakan JJA kedua ini, kita menyasarkan sebanyak 2,000 koperasi yang berdaftar dengan SKM untuk didaftarkan menjadi ahli Angkasa," katanya. "Dari segi konteks Sabah, koperasi yang didaftarkan menjadi ahli Angkasa masih belum sampai 50 peratus daripada lebih 1,000 koperasi yang berdaftar dengan SKM di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Kempen Keahlian Angkasa dan Peluang Perniagaan Bersama Felcra Berhad di sini, Jumaat. Beliau berkata menerusi siri JJA kali ini, lebih 60 peratus jumlah koperasi yang ada di negeri ini dapat didaftar menjadi anggota Angkasa menerusi siri turun padang dengan kerjasama Angkasa dan SKM Sabah. Menurutnya banyak manfaat boleh diperoleh oleh koperasi yang menjadi anggota Angkasa yang juga badan puncak gerakan koperasi negara dan juga boleh mewakili suara dan pandangan koperasi dari seluruh pelusuk negara untuk diketengahkan ke peringkat kebangsaan. "Dengan semangat kesatuan dan gabungan yang mantap, Angkasa akan memberikan sokongan padu kepada koperasi-koperasi ahlinya untuk memastikan sektor koperasi kekal relevan dalam mendepani isu-isu semasa berkaitan ekonomi," katanya. Abdul Fattah berkata dalam keadaan ekonomi semasa, koperasi juga boleh menjadi sektor paling mampan kerana konsep berdikari dan saling bekerjasama dalam kalangan anggota sesebuah koperasi.