suria

Continental Tyre Malaysia Sasar Tingkat Jualan Produk Mampu Milik

KUALA LUMPUR: Continental Tyre PJ Malaysia Sdn Bhd (CTM) menyasarkan untuk meningkatkan jualannya bagi segmen produk berasaskan kemampuan pengguna, sejajar cabaran ekonomi semasa yang turut menjejaskan ringgit.

Pengarah Urusannya, Cameron Wilson berkata 2015 terbukti menjadi tahun yang  positif bagi pengeluar tayar di pasaran Malaysia biarpun dalam situasi kemelut ekonomi global.

"Continental Tyre memiliki rangkaian produk berbeza untuk pasaran. Oleh itu, kami masih melihat angka jualan yang terus meningkat.

"Permintaan bagi produk mampu milik serta yang berasaskan nilai juga kian ketara. Kami menyasarkan untuk meneruskan serta menyokong segmen-segmen ini di pasaran pada tahun ini," katanya kepada Bernama selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya 2016 sempena Tahun Baru Cina, di sini, baru-baru ini.

Wilson berkata, syarikat itu turut berharap untuk mencatat kenaikan sekurang-kurangnya 10 peratus dalam segmen produk mampu milik berbanding 14 peratus tahun lepas.

Sehubungan itu, katanya, syarikat yang memiliki kepentingan 30 peratus bahagian pasaran di Malaysia, akan turut meningkatkan perbelanjaan modalnya dalam segmen berkenaan.

Sementara itu, program kempen keselamatan jalan raya itu dianjurkan bersama CTM bersama Shell Malaysia Trading Sdn Bhd.

Kempen yang diadakan pada 9-31 Januari ini, bertujuan mendidik para pemandu mengenai amalan keselamatan mengenai tayar dan mengutamakan aspek penyelenggaraan kenderaan untuk perjalanan jauh untuk bercuti atau meraihkan Tahun Baru Cina ini.-- Bernama


Continental Tyre, Cameron Wilson

Artikel Lain