suria

Miresco Ujur Jualan Air I-Mizu Cecah RM20 Juta Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Miresco Integrated Sendirian Bhd, syarikat pengeluar dan pengedar produk air minuman hidrogen beralkali anti-oksida, mensasarkan jualan air botol minuman kesihatan standard premium I-Mizu, bernilai RM20 juta tahun ini.

Pengarah Urusan Dr Mohd Ihsan Che Mohd Noh berkata sasaran itu berdasarkan produk terbaru air I-Mizu anti-oksida hidrogen beralkali yang ditampilkan dengan pembotolan dan imej baharu.

"Kita menjangkakan minuman kesihatan premium I-Mizu yang sedia diminum akan memasuki pasaran pada hujung Januari tahun ini dengan siapnya kilang pengeluaran kita di Taman Perindustrian Kepong, Kuala Lumpur dengan bantuan Mara (Majlis Amanah Rakyat) dan usahasama UniKL (Universiti Kuala Lumpur)," menurutnya dalam satu kenyataan di sini, Selasa.

Beliau berkata kilang pengeluaran baharu itu mampu mengeluarkan sebanyak 500,000 botol air I-Mizu sebulan, dan ia beroperasi di bawah Inkubator Teknologi Makanan (Intem), UniKL.

Miresco juga bersedia bekerjasama dengan semua pihak untuk melantik lebih ramai pengedar jualan termasuk individu yang berminat bagi meluaskan edaran dan jualan air minuman kesihatan premium I-Mizu, katanya.

Menurut Mohd Ihsan, air I-Mizu merupakan minuman kesihatan standard premium daripada gabungan mineral terbaik dari Jepun yang menghasilkan air hidrogen beralkali anti-oksida secara semulajadi tanpa sebarang proses elektrolisis elektrik seperti yang ada di pasaran sekarang.

"Kelebihan I-Mizu telah terbukti dalam merawat penyakit disamping mengekalkan kesihatan. Ia juga tampil sebagai air minuman alternatif yang terbaik untuk kesihatan semua," tambahnya.

Berdasarkan slogan 'Air Berkhasiat, Hidup Lebih Sihat', air minuman kesihatan premium I-Mizu bersaiz 450 mililiter dijual di Semenanjung Malaysia dengan harga RM5.50, manakala di Sabah dan Sarawak RM6.00.

Untuk maklumat lanjut mengenai produk I-Mizu, pengguna boleh layari laman web www.i-mizu.com.-- Bernama


Miresco, I-Mizu

Artikel Sebelum

Artikel Lain