KUALA LUMPUR: Industri takaful dijangka terus bertumbuh, disokong oleh tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia sekalipun persekitaran ekonomi semasa mencabar dan kos sara hidup tinggi. Ketua Pegawai Eksekutif Prudential BSN Takaful Bhd (PruBSN), Aman Chowla berkata kesedaran yang tinggi menyaksikan bilangan rakyat Malaysia yang melanggan bertambah dari semasa ke semasa. Pada masa ini PruBSN mempunyai lebih 14,000 ejen dengan lebih 700,000 pelanggan. "Selagi trend dalam hala tuju yang betul, kami optimis akan industri keseluruhan tahun ini, namun kami perlu mengubah suai mengikut perubahan, kalau ada," katanya dalam sidang media selepas pelancaran PruBSN Platinum, di sini, Selasa. Mengenai PruBSN Platinum, beliau berkata kriteria utama produk ialah bayaran tunai tahunan yang menyumbang sebagai aliran pendapatan kepada pelanggan, bermula akhir tahun kedua dan setiap tahun selepas itu, selain meningkat sekali ganda bermula tahun ke-11 hingga capai kematangan. Aman bagaimanapun tidak mendedahkan unjuran pelanggan bagi PruBSN Platinum.Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran PruBSN, Nor Azman Zainal berkata setakat ini syarikat menguasai 36 peratus daripada pasaran dan menyasarkan pertumbuhan dua angka bagi bersamaan sumbangan tahunan (ACE) perniagaan pada akhir tahun. "Kami juga merancang untuk melancarkan dua hingga tiga produk baharu terutama pelan individu pada separuh kedua tahun ini," katanya. PruBSN merupakan usaha sama antara Bank Simpanan Nasional dan Prudential Plc dengan penguasaan kepentingan masing-masing 51 dan 49 peratus.