KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd yakin dapat mengekalkan momentum jualan bagi tahun ini berdasarkan penerimaan baik pasaran serta rangkaian produk terbaik yang ditawarkannya. Naib Presiden Jualan Pemasaran, Mark Raine berkata tahun lepas terbukti berakhir dengan baik bagi syarikat itu yang disusuli permulaan positif bagi 2016 menerusi peningkatan permintaan. "Jelas sekali kami tidak terjejas dengan perkembangan yang berlaku. Malah, kami menerima ramai pelanggan serta pesanan baharu. "Kami juga optimis dengan rangkaian produk hebat yang ada dan dapat meneruskan aliran pertumbuhan ini," katanya kepada Bernama pada majlis pelancaran edisi terbaharu model A-Class kenderaan mewah itu di sini, Khamis. Beliau berkata demikian sebagai mengulas sama ada perkembangan ekonomi semasa turut menjejaskan pertumbuhan syarikat berkenaan. Syarikat itu mencatatkan jumlah jualan tertingginya pada tahun lepas dengan sejumlah 10,845 unit kenderaan penumpang dijual setakat 31 Dis, 2015 - peningkatan jualan sebanyak 56 peratus bagi tahun ke tahun berbanding 6,932 unit, tahun lepas. "Pada tahun lepas, Mercedes-Benz berjaya menjual 832 unit model A-Class dan bagi segmen kereta kompak premium secara keseluruhannya, kami dapat mencatat jualan lebih 2,811 unit," katanya. Pada majlis Khamis, Mercedes-Benz melancarkan model terbaharu A 180, A 200 AMG Line, A 250 Sport dan A 45 Matic yang disasarkan kepada golongan muda dan mereka yang gemarkan pengembaraan. Harga (di atas jalan) bagi model A 180 adalah RM195,888 seunit; A 250 Sport (RM205,888); A 200 AMG Line (RM205,888) manakala A 250 sebanyak RM238,888. "Menerusi lanjutan portfolio A-Class, kami dapat menarik lebih ramai pelanggan memilih jenama ini, khususnya menerusi model A 180," katanya.-- Bernama