suria

Forest City Berstatus Kawasan Bebas Cukai - PM

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar diringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled dan Pengerusi Country Garden Holdings, Yeung Kwok Keung (tiga, kanan) ketika melawat replika Forest City Pulau Satu selepas merasmikannya, Ahad.

ISKANDAR PUTERI: Forest City diberikan Status Kawasan Bebas Cukai untuk memacu aktiviti perniagaan dan pelancongan keempat-empat pulaunya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ahad.

Pemberian status itu merupakan antara empat Pakej Insentif Sokongan yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada majlis perasmian kawasan pembangunan itu di sini.

Projek itu dilancarkan oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Pakej Insentif Sokongan itu ialah Galakan Cukai korporat untuk Pemaju Hijau dan Pengurus Pemaju Hijau, Galakan Cukai Korporat untuk pengusaha sektor perkhidmatan yang layak atau pun syarikat bertaraf Wilayah Pembangunan Iskandar (IDR), dalam sektor pelancongan, kesihatan dan pendidikan.

Pakej keempat ialah tiada kekangan/syarat ekuiti untuk pemegang saham asing dalam syarikat yang layak menikmati galakan cukai korporat, di atas. 

"Pakej ini adalah untuk menjayakan projek Forest City berdasarkan pelan induk serta sasarannya menjadi bandar pintar dan hijau (mesra alam)," kata Najib yang dalam rangka lawatan kerja ke Negeri Johor, Ahad.

Menurut Najib, projek Forest City ini juga merupakan antara pembangunan  berskala besar yang mengambil pendekatan alam sekitar dan konsep pembangunan lestari. 

Untuk itu, kepentingan khazanah alam dan limpahan untuk masyarakat sekitar dan rakyat Johor diberi keutamaan. Ia bakal menjadi bandar raya mesra alam dan pintar pada Abad ke-21, katanya.

Perdana Menteri berkata pembangunan lestari seperti Forest City ini merupakan pembangunan masa hadapan.

"Kita perlu membuktikan betapa kita serius dalam membangunkan negara mengikut model dan acuan pembangunan kita sendiri," katanya.

Perdana Menteri berkata meskipun negara berhadapan situasi ekonomi dunia semasa yang masih dibelenggu pelbagai cabaran, projek Forest City berpotensi  menjadi permata terbaharu Iskandar Malaysia, dan mengangkat martabat negara Malaysia dan negeri Johor Darul Ta'zim.

"Dari aspek ekonomi, gembira saya berkongsi bahawa projek ini mampu menarik pelaburan asing (FDI) sebanyak RM175 bilion.

"Lebih daripada itu, dalam tempoh 20 tahun akan datang, iaitu menjelang 2035, projek ini dijangka mewujudkan sebanyak 220,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia dalam sektor-sektor yang mempunyai nilai tambah tinggi seperti kewangan dan e-dagang," katanya.

Perdana Menteri berkata perkembangan ini tentunya akan memberi nilai positif kepada rakyat dan dapat meningkatkan jumlah pekerjaan dan meningkatkan rantaian nilai negara. 

"Limpahan hasil pelaburan ini tentunya akan memberi manfaat kepada industri-industri tempatan, sekali gus membuka peluang perniagaan kepada mereka di peringkat antarabangsa," kata Najib.

Menurut Perdana Menteri Projek Forest City yang dijalankan oleh pihak Country Garden Pacificview Sdn Bhd ini adalah selaras dengan enam Teras Strategik Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Konsep hijau dan bandar raya pintar juga senada dengan salah satu teras RMK-11, iaitu Menuju Ke Arah Pertumbuhan Hijau Bagi Meningkatkan Kemampanan Dan Daya Tahan.

Ini kerana strategi pembangunan kota atau bandar hijau akan meningkatkan kualiti pertumbuhan, mengukuhkan jaminan bekalan makanan, air dan tenaga serta mengurangkan risiko terhadap alam sekitar dan kemusnahan ekologi, sekali gus meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat, katanya.

"Ia juga dapat mengurangkan pelepasan gas rumah kaca dengan ketara dan memulihara ekosistem kawasan daratan dan air serta pesisir pantai, dan menjamin kehidupan marin yang lebih baik," katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pembangunan Forest City juga selari dengan Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Malaysia 2025 yang beliau dan Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled, lancarkan Disember lepas.

Pelan tersebut melibatkan lima Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah kendalian Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) di Iskandar Malaysia.

Ini bagi merealisasikan sasaran Iskandar Malaysia dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sehingga 50 peratus menjelang 2025 seperti digariskan dalam Rancangan Pembangunan Komprehensif di Iskandar Malaysia 2014-2025 .

Perdana Menteri turut menyarankan pemaju induk dan perancang bandar Forest City menerapkan elemen kemampanan dan dasar inklusif dalam perancangan sosial dan fizikal bandar eko yang baharu ini. 

Dengan sasaran jumlah penduduk seramai 700,000 menjelang 2035, Najib berkata perlu ada inisiatif Bandar hijau secara menyeluruh, aktiviti perlindungan persisiran pantai, program pemuliharaan rumpai laut, aplikasi sistem pembinaan berindustri dalam pembinaan bangunan perumahan dan perancangan fizikal, dilaksanakan dan dipantau secara jangka panjang. -- Bernama

Artikel Lain