suria

Empat Projek Mega Jadi Pemangkin Pertumbuhan Masa Depan Johor

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani plak sambil diperhatikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (dua, kanan) ketika merasmikan Forest City Pulau Satu, Iskandar Puteri, Ahad. Turut kelihatan Pengerusi Country Garden Holdings, Yeung Kwok Keung (dua, kiri) dan Pengarah Eksekutif Country Garden Pacificview, Datuk Mohd Othman Yusof (kiri).

ISKANDAR PUTERI: Empat projek mega di negeri Johor, termasuk projek hartanah Forest City dan Rel Berkelajuan Tinggi (HSR), bakal menjadi pemangkin pertumbuhan negeri ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata dua projek mega lain ialah projek landasan berkembar Gemas-Johor Baharu dan pembangunan hab minyak dan gas negara di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang.

"Beberapa projek besar untuk negeri Johor termasuk Forest City, HSR, Gemas-JB dan Pengerang... empat projek mega untuk negeri Johor ini, pasti akan jadi pemangkin kepada pertumbuhan negeri.

"Apatah lagi kalau projek ini dipadankan dengan perancangan yang dibuat oleh peringkat negeri dan daerah yang kita akan lancarkan hari ini, saya yakin dan percaya masa depan negeri Johor amat cerah walaupun berhadapan dengan senario ekonomi yang tidak menentu," kata Perdana Menteri ketika berucap di Educity, di sini, Ahad.

Najib hadir di sini untuk merasmikan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor (PPSJ)dan Rancangan Pembangunan Komprehensif II Iskandar Malaysia (CDP II).

Perdana Menteri juga memuji inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dalam menyediakan PPSJ dan CDP II.

"Kita perlu perancangan yang teliti dan bersifat menyeluruh agar ia dapat menyediakan hala tuju untuk memajukan negeri ini agar terus kekal sebagai sebuah negeri penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara," kata Perdana Menteri.

Menurut statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), Johor mencatatkan jumlah pelaburan domestik (DDI) yang diluluskan sebanyak RM27.96 bilion dalam sektor perkilangan, manakala jumlah pelaburan langsung asing (FDI) yang diluluskan sebanyak RM3.14 bilion, kata Najib.

"Statistik ini juga menunjukkan bahawa Johor merupakan negeri yang mencatat rekod tertinggi pelaburan bagi sektor perkilangan pada 2015 (DDI dan FDI) iaitu sebanyak RM31.1 bilion atau 41.6 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan di Malaysia," katanya. 

Najib yang juga Pengerusi Bersama IRDA, turut menyatakan rasa kagum terhadap pencapaian IRDA dalam menarik pelaburan ke Wilayah Iskandar Malaysia sejak dilancarkan."Dari tahun 2006 sehingga Februari 2016, pelaburan komited terkumpul telah melepasi RM200 bilion.

"Ini merupakan pencapaian yang membanggakan, dan saya berharap IRDA akan terus berusaha melipatgandakan usaha untuk membawa lebih banyak pelaburan ke negeri Johor," kata Perdana Menteri.

Najib berkata menerusi PPSJ dan CDP II, ia bakal mengangkat martabat negeri Johor ke peringkat yang lebih tinggi lagi.

"Kedua-duanya juga akan menjadi penanda penting sebagai pemangkin kepada Johor yang pesat pada masa hadapan," katanya.

Selain itu, Najib berkata usaha kerajaan negeri melalui PPSJ itu akan mewujudkan konsep pembangunan terangkum yang adil dan saksama, melibatkan semua daerah, golongan serta individu yang tidak akan terkecuali daripada mendapat manfaat hasil pembangunan negeri.

"Itu sebab saya tertarik hati apabila Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Besar Johor) merancang PPSJ... sebab pelan ini berdasarkan kepada kekuatan, kebitaraan dan keunikan setiap daerah di negeri Johor," kata Najib.

PPSJ merupakan pelan pertumbuhan strategik Johor bagi menyokong Pelan Transformasi Ekonomi yang dilancarkan kerajaan pusat, dan pada masa yang sama membongkar potensi sebenar ekonomi Johor melangkaui Iskandar Malaysia, Pengerang dan Johor Baru.

Sementara itu, CDPii, yang merangkumi rancangan pembangunan dari 2016 hingga 2025, menekankan tiga perkara utama dalam perancangan pembangunannya, termasuk menumpukan kepada pelaburan yang dilakukan sama ada melalui sumber tempatan atau pihak luar secara terancang dan terkawal.

Selain itu, tumpuan juga diberikan ke atas perancangan yang memberi keutamaan dari aspek kelestarian dan penumpuan kepada pelaburan yang berupaya menyalurkan limpahan kemakmuran ekonomi kepada persekitaran koridor itu.-- Bernama

Artikel Lain