SEPANG: Syarikat pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), telah membelanjakan sejumlah RM172 juta untuk membeli 41 buah jentera baharu dengan teknologi lebih tinggi bagi menggantikan jentera Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang (AFRS) sedia adanya. Pengarah Urusannya Datuk Badlisham Ghazali berkata jumlah perbelanjaan itu diperuntukkan secara berperingkat sejak 2010 sebagai persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya kecemasan atau kemalangan melibatkan pesawat atau infrastruktur di semua lapangan terbangnya di Malaysia. Menurutnya, perangkaan menunjukkan AFRS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah menerima sebanyak 83 panggilan kecemasan sejak tahun 2013 sehingga 2015. "Bagi memastikan pengurusan kecemasan di lapangan terbang berjalan dengan lebih lancar, MAHB komited dengan menggantikan jentera Command Post yang sedia ada kepada unit jentera baharu yang lebih berteknologi tinggi dan menepati keperluan pengurusan kecemasan semasa yang semakin mencabar," katanya. Badlisham berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Jentera, Mobile Command Post dan Hazmat bernilai RM1.5 juta oleh Scomi Engineering Bhd kepda MAHB, di sini, Rabu. Menurutnya, jentera Mobile Command Post tersebut diperlukan sebagai pusat berkumpul bagi semua agensi-agensi kecemasan untuk menerima dan menyampaikan maklumat serta arahan semasa kejadian kecemasan terutama sekali kemalangan yang melibatkan pesawat. "Spesifikasi dan kelengkapan jentera ini mematuhi konsep 3C, iaitu Command (Arahan), Coordination (Penyelarasan), Communication (Komunikasi) yang bertepatan dengan keperluan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa," katanya. Jelas beliau jentera itu juga mempunyai ruang khas untuk sebarang perbincangan bagi mendapatkan keputusan segera melibatkan operasi kecemasan di lokasi kejadian dan mampu membuat paparan video secara langsung serta menyalurkan maklumat yang lebih pantas dengan Pusat Kawalan Krisis KLIA. Di samping itu, katanya, jentera tersebut juga mampu diatur gerak ke mana-mana lokasi di dalam kawasan KLIA sama ada pada waktu siang atau malam. Dalam pada itu, Badlisham berkata, MAHB juga telah mengambil inisiatif untuk menyediakan jentera Hazmat untuk tindak balas kecemasan yang melibatkan bahan berbahaya. "Statistik sejak tahun 2013 menunjukkan AFRS di KLIA menerima sebanyak 6 panggilan kecemasan yang melibatkan Hazmat (bahan berbahaya) terutama sekali melibatkan pesawat dan juga bangunan kargo di mana pihak AFRS sebelum ini tidak mempunyai kenderaan khusus untuk membawa peralatan operasi Hazmat ke lokasi kejadian dengan kadar segera. "Berdasarkan Pelan Kecemasan Lapangan Terbang KLIA, AFRS akan bertindak sebagai pasukan awalan sebelum ketibaan pasukan Hazmat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang berpengkalan di Shah Alam," katanya.--Bernama