suria

Kelembapan Harga Hartanah Cetus Semula Minat Bakal Pembeli - PropertyGuru

KUALA LUMPUR: Senario kelembapan harga hartanah bagi  tempoh suku kedua tahun lepas, ternyata mencetuskan semula minat bakal pembeli  untuk memiliki aset berkenaan, kata portal hartanah dalam talian PropertyGuru.

Ini jelas dibuktikan hasil kaji selidik syarikat itu baru-baru ini yang menunjukkan kira-kira 60 peratus pengguna sememangnya berhasrat membeli hartanah itu dalam tempoh enam bulan ini.

"Bagaimanapun, 36 peratus menyatakan mereka lebih berminat untuk membeli hartanah daripada pemaju hartanah daripada pasaran sekunder (peringkat kedua)," kata PropertyGuru dalam laporan hasil kaji selidik "Malaysia Property Market Sentiment Survey Report H1 2016" (Hasil Laporan Kaji selidik Sentimen Pasaran Hartanah Malaysia H1 2016," di sini, Isnin.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata pemaju hartanah juga didapati menawarkan lebih nilai bagi mempromosikan unit-unit kediaman mereka kepada bakal pembeli.

"Sehubungan itu, para pembeli lebih positif apabila menyedari senario masa ini mengenai penyederhanaan harga rumah dan tawaran menarik yang tidak mungkin diberikan pada masa terdekat kelak," katanya.

Selain itu, kata Fernandez, masalah lambakan pelbagai hartanah khususnya kediaman bangunan tinggi dan berstrata, juga menjadi antara tarikan untuk pembeli hartanah itu.

Hasil kaji selidik itu turut menunjukkan 28 peratus daripada rakyat Malaysia berpuas hati dengan pasaran hartanah tempatan bagi tempoh suku kedua 2015, iaitu peningkatan sebanyak tiga peratus berbanding separuh pertama tahun sama.

Namun, ramai yang turut melahirkan kekecewaan mengenai masalah harga yang disifatkan mereka sebagai terlalu mahal dan di luar kemampuan serta berdepan kesukaran mendapat pembiayaan sewajarnya.-- Bernama

PropertyGuru, Sheldon Fernandez

Artikel Lain