suria

Pistol Buatan Malaysia Bakal Masuki Pasaran

KUALA LUMPUR: Syarikat pembuat pistol Malaysia, Aegis Malinnov Sdn Bhd mengorak langkah dalam industri keselamatan dan pertahanan tempatan menerusi pengenalan pistol pertamanya iaitu Semi Automatik M1P 9MM Caliber yang dijangka dikeluarkan pada suku ketiga tahun ini.

Pengerusinya Tan Sri Hashim Meon berkata syarikat itu telah mendapat kelulusan (lesen) untuk menjual senjata api dari Kementerian Dalam Negeri dan akan ke fasa seterusnya iaitu mendapatkan pengiktirafan ujian ketahanan pistol dari Institut Penyelidikan Sains  and  Teknologi Pertahanan (Stride).

Beliau berkata pihaknya menjangkakan proses terbabit akan mengambil masa sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan sebelum selesai sepenuhnya.

"Selepas itu, kita boleh memasarkan pistol keluaran pertama syarikat ini.

Sebagai permulaan kita sasarkan jualan di peringkat dalam negara kepada pihak pegawai keselamatan seperti polis dan tentera serta pembeli peribadi yang mempunyai lesen sah untuk memiliki senjata api.

"Selepas yakin dan mengukuhkan reputasi di segmen pasaran tempatan, barulah kita akan mula meneroka pasaran yang lebih luas di luar negara," katanya ketika ditemui Bernama di pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-15 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, Khamis.

Hashim berkata kejayaan menghasilkan pistol seberat 830 gram yang mempunyai kualiti setaraf jenama antarabangsa dengan hanya menggunakan kepakaran tempatan bukan satu perkara yang mudah.

Beliau berkata ia mengambil masa selama lebih lima hingga enam tahun untuk pasukan penyelidikan dan pembangunan (R and D) yang ditubuhkan syarikat itu untuk menghasilkan pistol yang menepati piawaian antarabangsa dan kehendak pasaran.

"Kebanyakan anggota pasukan R and D itu mempunyai latar belakang ketenteraan serta memiliki kemahiran tinggi dalam pengendalian senjata seperti bekas anggota Unit Tindakan Khas dan pengalaman berkenaan sangat membantu untuk menghasilkan satu produk terbaik dari kilang di Taman Teknologi Malaysia, di sini.

"Mereka dilantik menjadi penasihat dalam hal berkaitan kualiti tembakan.

Dalam aspek penghasilan reka bentuk pula kita juga mengunakan kepakaran anak tempatan. Bagaimanapun, kita masih menggunakan mesin pembuatan yang diimport dari luar," katanya.

Bagi pembangunan jangka panjang, Hashim berkata Aegis Malinnov ada menjalin kerjasama dengan pihak STRIDE dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dalam cadangan untuk membangunkan dua produk ketenteraan terbaharu iaitu Rocket Proper Grenade dan Mortar Launcher.

Berikut adalah spesifikasi pistol berkenaan:

Barrel length: 119.1 mm

Weight: 830gm

Caliber: 9MM

Overall length: 210mm

Height: 139.1mm

Width: 35mm

Magazine capacity: 16

Action: Double Action 

Pistol, Malaysia

Artikel Lain