KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) meninjau lebih banyak aset infrastruktur pada masa depan, dan tidak menolak kemungkinan mengambil alih kepentingan ekuiti dalam konsesi lebuh raya Duta-Ulu Kelang Expressway (Duke). Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata KWSP telah meninjau aset-aset infrastruktur dengan pulangan risiko yang baik dan aliran tunai yang kukuh. "Kami telah membuat pelaburan yang besar dalam lebuh raya beberapa tahun lepas dan kami sentiasa terbuka kepada pengambilalihan baru. "Bagaimanapun, tidak semestinya Duke kerana ada banyak aset berpotensi lain yang kami tinjau masa ini," katanya selepas mesyuarat agung tahunan dan mesyuarat agung luar biasa Taliworks Corporation Bhds di sini, Selasa. Pada masa ini, KWSP memegang kepentingan ekuiti dalam pengendali Lebuhraya PLUS, Lebuhraya Cheras-Kajang dan Lebuh Raya Pintasan Selat Klang Utara Baru (NNKSB). Terdahulu, Taliworks dan KWSP mengumumkan bahawa masing-masing akan memperoleh 35 peratus pegangan dalam syarikat pengurusan sisa pepejal, SWM Environment Holdings Sdn Bhd. Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Pelaburan KWSP, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif berkata ia merupakan pelaburan sulung dana dalam portfolio pengurusan sisa pepejal dan ia berharap untuk terus bekerja dengan Taliworks bagi mencari aset matang dan menjana tunai pada masa depan. "Kami yakin perkongsian dengan Taliworks akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak terutama dalam mengenal pasti aset strategik dan melaksanakan strategi meningkatkan nilai," katanya. Semasa mesyuarat, syarikat itu mendapat kelulusan para pemegang saham bagi pelupusan keseluruhan perniagaan pengurusan sisa dan air sisa di China pada AS$54.6 juta dan pengambilalihan pegangan 35 peratus dalam SWM Environment daripada Conseec Gali Sdn Bhd dan Esys Montenay Sdn Bhd pada RM245 juta. Pengarah Eksekutif Taliworks Datuk Lim Yew Boon berkata kerjasama dengan KWSP akan terus memacu pengembangan perniagaan penggabungan dan pengambilalihan syarikat. "Taliworks dan KWSP akan terus menyasarkan aset strategik yang akan menjana aliran tunai dan pendapatan yang kukuh kepada kedua-dua entiti, " katanya.-- Bernama