KUALA LUMPUR: Pengeluar gula pasir terbesar Malaysia, MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM), berada pada kedudukan yang baik dalam mencapai pertumbuhan yang mampan di masa hadapan, kata Pengarah Datuk Zakaria Arshad. Prospek dan bisnes kumpulan itu mempunyai unjuran yang cerah memandangkan MSM memiliki strategi dan pasukan yang kukuh yang disusun sebelum ini oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Sheikh Awab Sheikh Abod. Sheikh Awab, 56, yang meninggal dunia pada 14 April 2016, telah meneraju syarikat tersebut mulai 1 Januari 2014 dan menjadi pendorong terpenting ke atas kecemerlangan prestasi MSM sejak dua tahun lepas. "Semasa zaman beliau, kami sudah pun membina pasukan yang kuat di MSM. "Kami tidak menjangkakan sebarang masalah bsar dalam operasi perniagaan dan kami yakin bahawa MSM mampu mencapai sasaran yang ditetapkan bagi tempoh kewangan tahun 2016. "Calon bagi CEO pun sudah dikenalpasti dan akan diumumkan oleh Pengerusi, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad tidak lama lagi," kata Zakaria, yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dalam satu sidang akhbar di sini, Selasa selepas mesyuarat agung syarikat tersebut. FGV memegang kepentingan sebanyak 51 peratus dalam MSM. Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MSM Mohamad Amri Sahari berkata syarikat amat yakin cabaran tahun kewangan sekarang ini akan dapat ditangani dan seterusnya mencapai prestasi yang lebih baik berbanding tahun sebelum ini. "Dari sudut pengeluaran dan jualan, kami akan cuba mengatasi angka tahun lepas. Hab perniagaan kami yang berpangkalan di Dubai telah mula menyumbang kepada pendapatan MSM sejak suku pertama. "Pertumbuhan keuntungan telah dicapai melalui jualan yang kukuh dan mekanisme pelindung nilai, pembelian pukal pula membantu mengurangkan kos gula mentah," katanya. MSM mencapai prestasi terbaik dalam sejarah 51 tahun syarikat itu dengan peningkatan keuntungan selepas cukai sebanyak 7.11 peratus kepada RM275 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2015 berbanding RM257 juta yang direkodkan pada 2014. Keuntungan sebelum cukai mencecah rekod RM372 juta pada tahun 2015 berbanding RM344 juta dalam 2014 di belakang rekod hasil sebanyak RM2.31 bilion berbanding RM2.28 bilion yang dicatatkan dalam tahun sebelumnya. Mohamad Amri juga berkata MSM telah melakukan inisiatif penjimatan kos melalui penempatan semula pusat-pusat pengedarannya termasuk melaksakan program penjimatan penggunaan bahan api dan elektrik. "Perkongsian pasaran domestik telah mengukuhkan daripada 64 peratus kepada 65 peratus dan kilang MSM yang baharu di Johor yang akan dibuka menjelang akhir 2017 akan melonjakkan kapasiti pengeluaran tahunan kumpulan kepada 2.25 juta tan," katanya. Bagaimanapun, Ketua Pegawai Kewangan Aznur Kama Azmir, berkata perbelanjaan modal bagi kilang penapisan di Tanjong Langsat, Johor itu juga didapati lebih rendah berbanding dengan AS$259 juta (AS$ 1 = RM4.05) yang dianggarkan sebelum ini. Katanya, kilang baharu itu akan meningkatkan kapasiti pengeluaran MSM sehingga mampu memenuhi permintaan keseluruhan pasaran domestik. Berikutan dengan ini, syarikat menjangkakan pendapatan dan hasil MSM yang akan datang akan melonjak sekali ganda. "Seperti yang selalu ditegaskan oleh bekas CEO kami, prestasi MSM amat bergantung kepada kemampuannya dalam memberikan perlindungan ke atas nilai harga gula mentah dan pertukaran asing. "Buat masa sekarang, mereka semua berada dalam kawalan sehingga suku ketiga tahun kewangan 2016," katanya.-- Bernama