suria

Malaysia Eksport Lebih 1 Juta Meter Padu Kayu Tropika Pada 2015

KUALA LUMPUR: Malaysia mengeksport lebih satu juta meter padu kayu tropika diperakui ke 49 destinasi di seluruh Asia Pasifik, Timur Tengah, Eropah, Afrika Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada pada 2015.

Daripada jumlah itu, kira-kira 868,332 meter padu atau 82.93 peratus dieksport ke Eropah dengan lima peratus daripada jumlah kuantiti dieksport ke Jerman.

Majlis Persijilan Kayu Negara (MTCC) baru-baru ini mengadakan lawatan kerja ke Jerman, antara lainnya, untuk mempromosikan pembelian kayu tropika berkualiti yang diperakui dari Malaysia.

Lawatan kerja selama enam hari itu yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif MTCC Yong Teng Koon, membolehkan Malaysia dan Jerman untuk berdialog mengenai pencapaian penting amalan pengurusan hutan lestari dan persijilan hutan untuk menggalakkan pembelian kayu diperakui daripada program sokongan persijilan hutan (PEFC) dari Malaysia.

"Ketika ini, hanya 10 peratus hutan di dunia diperakui yang mana 1.0 peratus terdiri daripada hutan tropika.

"Ini menunjukkan usaha padu diperlukan untuk menggalakkan dan meningkat pengurusan hutan lestari hutan-hutan dunia, terutamanya hutan tropika.

"Sehubungan ini, penerimaan kayu diperakui PEFC dari Malaysia dalam dasar pemerolehan awam oleh pelbagai negeri di Jerman sudah pastinya menjadi langkah penting dalam hala tuju yang betul," kata Yong.

Skim Persijilan Kayu Malaysia telah diterima di bawah dasar pemerolehan kayu Nasional Jerman, katanya. 

Artikel Lain