KUALA LUMPUR: Malindo Air melanjutkan tawaran tambang eksklusif bagi 'Malindo Air Travel Fair 2016 2016' yang dilancarkan baru-baru ini, sehingga 5 Jun ini, berikutan sambutan yang amat menggalakkan. Dalam satu kenyataan pada Isnin, syarikat penerbangan itu berkata kempen tawaran istimewa itu yang menawarkan tambang eksklusif dengan diskaun sehingga 90 peratus dan berakhir pada 29 Mei, dilanjutkan dengan tarikh perjalanan sah mulai 23 Mei tahun ini sehingga 31 Mac, 2017. Tawaran ini sah bagi semua pembelian yang dibuat dalam talian, di pejabat jualan tiket dan melalui agensi-agensi pelancongan di Malaysia, katanya. Ketua Pegawai Eksekutifnya Chandran Rama Muthy berkata Malindo Air Travel Fair 2016 mencapai kejayaan besar dengan semua sejuta tempat duduk yang diperuntukkan untuk tawaran telah direbut. "Oleh itu, kami memutuskan untuk melanjutkan tawaran istimewa kami, dengan jangkaan lonjakan penumpang semasa cuti sekolah yang jatuh pada awal Ramadan. "Kami sentiasa mahu memberi kemudahan kepada semua orang untuk menggunakan penerbangan," katanya. Promosi berkenaan bagi penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur atau Lapangan Terbang Subang ke destinasi dalam Malaysia atau ke destinasi lebih jauh seperti Batam, Bali, Bangkok, Jakarta, Ho Chi Minh City dan Bandung. Syarikat penerbangan itu juga menawarkan penerbangan ke destinasi seperti Colombo, Kochi, Trivandrum, Tiruchirappalli, Dhaka, Kathmandu, Perth, Hong Kong, Delhi, Mumbai, Amritsar dan Lahore.