suria

DRS Trading Lihat Potensi Besar Eksport Buah-Buahan Tropika

KUALA LUMPUR: DRS Trading Sdn Bhd, pengeksport buah-buahan tropika yang melihat potensi besar eksport buah-buahan Malaysia di pasaran luar negara, mengunjurkan meraih jualan eksport bernilai RM15 juta tahun ini.

Pengarahnya Abd Aziz Sakiman berkata syarikat itu meraih jualan eksport sebanyak RM5.2 juta setakat Mei tahun ini, dan menjangkakan angka itu akan  meningkat lagi pada suku terakhir apabila permintaan lazimnya lebih tinggi.

DRS kini mengeksport buah-buahan ke negara Timur Tengah seperti Oman, Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi, selain ke Eropah seperti Belanda, Sweden, Norway, Finland, Perancis, Belgium dan Jerman.

Antara buah-buahan yang telah menembusi pasaran tersebut ialah belimbing, buah naga, nangka, betik, tomato, mangga, rambutan dan manggis, katanya.

"Kami mempunyai kira-kira 40.47 hektar kebun yang menghasilkan buah-buahan untuk eksport, dengan kira-kira 10 hektar milik sendiri dan selebihnya dari 20 kebun lain secara kontrak.

"Buah-buahan yang kami hasilkan berkualiti premium dan memenuhi piawaian antarabangsa. Operasi kami lebih kepada eksport kerana mahukan harga yang lebih tinggi dan sepadan dengan kualiti, yang boleh ditawarkan oleh negara tersebut yang memiliki kuasa membeli yang lebih tinggi," kata Aziz kepada Bernama.

Beliau berkata, tahun lepas, syarikat itu mengeksport kira-kira 366 tan metrik buah-buahan, dengan 60 peratus untuk pasaran Eropah dan 40 peratus lagi ke Timur Tengah.

Untuk Timur Tengah, kami memperoleh permintaan tinggi untuk betik dan tomato manakala di Eropah, belimbing menyumbang 85 peratus daripada eksport dan selebihnya memilih nangka, buah naga serta rambutan, katanya.

Aziz berkata DRS bekerja rapat dengan sekurang-kurangnya 15 pengimport yang mempunyai pautan ke kedai-kedai runcit besar dan pasar raya besar, termasuk LIDL Jerman, ICA AB Sweden, Tesco di Timur Tengah, Carrefour di Perancis, K-City Market dan Jumbo Foodmarket di Finland dan tempat lain, untuk pengedaran buah-buahan.

Untuk pengembangan pasaran, beliau berkata DRS akan terus mencari pasaran baharu untuk mempromosi buah-buahan eksotik tempatan terutama di Eropah.

DRS telah bekerja rapat dengan Wakil Pejabat Pertanian Malaysia di The Hague, (PPP The Hague) di Belanda untuk tujuan promosi termasuk yang dijalankan di Sweden dan Finland tahun ini.

Susulan sambutan yang baik, Aziz berkata aktiviti promosi dengan PPP The Hague akan diteruskan di Romania, Hungary dan negara di Balkan yang telah dikenal pasti.

Ketika ditemui pada majlis promosi di Helsinki baru-baru ini, Setiausaha Kedua Pertanian PPP The Hague Mohammad Wafiuddin Esa berkata promosi itu bermatlamat sebagai platform untuk menguji pasaran dan memperkenalkan produk baharu.

Setakat ini, sambutan ke atas buah-buahan Malaysia dan produk pertanian yang lain di Eropah sangat menggalakkan, dengan potensi besar dalam pasaran berikutan kualiti premiumnya.

"Mereka yang bercadang untuk mengeksport produk pertanian digalakkan berbuat demikian dan boleh mendapatkan bantuan PPP The Hague.

Bagaimanapun, pengeksport perlu peka terhadap piawaian yang ditetapkan untuk mengakses pasaran Eropah, yang menetapkan pensijilan semasa, bukan sahaja dari segi keselamatan makanan malah kebajikan masyarakat, alam sekitar dan amalan kemampanan," kata Mohammad Wafiuddin.

Beliau berkata pengeluar buah-buahan juga harus mempertimbangkan dan melihat pasaran luar negara sebagai alternatif untuk menjual hasil tempatan bagi mengatasi lebihan bekalan.-- Bernama

Artikel Lain