suria

Tropical Bioessence Sasar Pasaran Eksport Sutra Meningkat 45 Peratus Tahun Ini

SEREMBAN:Tropical Bioessence Sdn Bhd menyasarkan pasaran eksport bagi produk keluaran syarikatnya, Sutra, menyumbang 45 peratus  kepada pendapatan syarikat tahun ini berbanding 30 peratus tahun lepas.

Pengarah Urusannya Mohd Khairil Said berkata ini dapat dicapai menerusi  penerokaan pasaran baharu, Vietnam dan Kemboja.

"Kami merancang untuk mengeksport produk ini ke dua negara terbabit selewat-lewatnya hujung tahun ini.

"Buat masa ini, selain Malaysia, produk Sutra kami boleh didapati di negara Indonesia, Brunei, Singapura, Pakistan dan Belanda," katanya kepada Bernama di sini.

Mohd Khairil bagaimanapun tidak menyatakan pendapatan syarikat berkenaan.

Beliau mendakwa produk Sutra yang berasaskan minyak pati, mula mendapat tempat di hati penduduk luar negara berikutan kemujarabannya kepada kesihatan keseluruhan.

"Produk Sutra meliputi 70 jenis produk di bawah tiga kategori iaitu pewangi, aromaterapi dan kesejahteraan.

"Tahun ini kita rancang untuk keluarkan tiga produk Sutra di bawah kategori kesejahteraan," katanya.

Selain itu, bagi mengembangkan lagi produk Sutra di pasaran tempatan, Mohd Khairil berkata pihaknya merancang membuka lima lagi kedai Sutra, masing-masing sebuag di Johor Baharu, Lembah Klang, Kuala Terengganu, Ipoh dan Melaka.

"Bila dah buka kedai, secara tidak langsung akan memberi keyakinan kepada pengguna bahawa produk jenama Sutra ini kukuh," katanya, sambil menambah kedai Sutra yang pertama dibuka di Seremban yang disasarkan kepada pelanggan dari kawasan sekitar, Melaka dan Lembah Klang.

"Bagi memastikan produk Sutra dikenali di segenap pelusuk masyarakat seperti di kawasan kampung dan rancangan Felda, kami juga mahu menambah bilangan pengedar kepada 400 orang.

"Buat masa ini kami mempunyai 320 pengedar dan 45 stokis yang aktif di seluruh negara," katanya. -- Bernama

Artikel Lain