KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3.25 peratus semasa mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada 13 Julai ini, kata Standard Chartered (StanChart). "Kami berpendapat bank pusat akan menurunkan kadar dasar tahun ini. Bagaimanapun, berikutan kenyataan dasar monetari lepas yang neutral, kami menjangka ia akan mengekalkan status quo minggu depan dan kadar hanya diturunkan pada September," kata StanChart dalam satu kenyataan pada Isnin. Ia berkata bank pusat lebih suka berkomunikasi mengenai perubahan pendirian dasar monetarinya sebelum yang membenarkan perubahan kadar. Menurut StanChart, ia berpendapat, penurunan kadar pada tahun ini masih boleh berlaku walaupun dengan dasar monetari neutral BNM. "Prospek pertumbuhan luar dan dalam negeri agak lemah," katanya. Penggunaan swasta adalah sokongan pertumbuhan utama, katanya, sambil menambah bahawa bagaimanapun, keadaan pasaran buruh yang semakin lemah mungkin menjejaskan sentimen pengguna. Penggunaan swasta susut kepada 5.3 peratus bagi perbandingan tahun ke tahun pada suku pertama 2016 berbanding purata suku pertama pada purata 7.4 peratus dalam 2011-2015. Pasaran buruh semakin lemah, dengan kadar pengangguran meningkat kepada 3.5 peratus pada Mac (tertinggi sejak Jun 2010), manakala kekosongan jawatan pada paras rendah, kata StanChart. Dianggarkan gaji sektor pembuatan, runcit dan dagangan borong meningkat hanya 3.1 peratus berbanding tahun ke tahun pada Mac (berbanding purata 8.3 peratus daripada 2011-15). Kenaikan harga hartanah yang lebih perlahan dan turun naik pasaran kewangan juga boleh menjejaskan sentimen perbelanjaan. StanChart mempunyai pandangan neutral terhadap Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) disebabkan oleh penghindaran risiko global dan kedudukan luar berikutan hasil undi Brexit. Ketidaktentuan ringgit mungkin mencetuskan aliran keluar daripada bil BNM, katanya. "Permintaan tempatan bagi aset pendapatan tetap adalah membina berdasarkan tunai yang banyak dipegang oleh pelabur jangka panjang dan prospek ekonomi makro yang lemah. "Tekanan ke atas bank pusat untuk mengurangkan lagi tahun ini telah meningkat dengan ketara," kata StanChart.