suria

Petronas Tamatkan Operasi Berantai RSC

KUALA LUMPUR: Petronas mencapai perjanjian bersama dengan Petrofac Energy Developments Sdn Bhd, Kencana Energy Sdn Bhd dan Sapura Energy Ventures Sdn Bhd bagi menamatkan operasi Berantai Risk Service Contract (RSC) berkuat kuasa 30 Sept, 2016.

Petronas berkata penamatan RSC itu akan membolehkan kumpulan tersebut meminimumkan penurunan nilai jangka panjang projek tersebut dan mengoptimumkan pembangunan dan aktiviti pengeluarannya di Malaysia.

Langkah itu sejajar dengan usaha Petronas untuk mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan operasinya, kata pengeluar minyak dan gas nasional itu dalam satu kenyataan pada Isnin.

"Dengan penamatan RSC, Petronas akan membayar balik baki modal tertunggak dan perbelanjaan operasi kepada kontraktor bagi tempoh 12 bulan berikutnya," kata syarikat itu.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, pemilikan Berantai FPSO akan dipindahkan kepada Petronas.

Berantai RSC ialah RSC pertama dianugerah oleh Petronas kepada Petrofac Energy Developments dan dua rakan kongsi tempatannya, iaitu Kencana Energy dan Sapura Energy Ventures pada 31 Jan, 2011.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SapuraKencana Petroleum Bhd Tan Sri Shahril Shamsuddin berkata Kencana Energy, Sapura Energy Ventures dan Petrofac Energy Developments berjaya mengoperasikan kemudahan itu dengan selamat dalam tempoh empat tahun lepas.

"Kami terus menyokong Petronas dalam usahanya untuk mengurangkan kos dan mengoptimumkan operasinya dengan tujuan untuk mengekalkan nilai jangka panjang projek tersebut," katanya dalam satu kenyataan berasingan. 

Petronas

Artikel Sebelum

Artikel Lain