PETALING JAYA: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menerusi usaha sama dengan Koperasi Samakaya DT Bhd di Brunei menghantar satu kontena produk makanan dan minuman di bawah program 100 Produk Champion yang bernilai kira-kira RM100,000 ke negara tersebut. Presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata sebanyak 17 koperasi terlibat dalam program 100 Produk Champion itu yang melibatkan 41 jenis produk makanan dan minuman halal. "Angkasa menjangkakan pulangan sebanyak 20 hingga 30 peratus melalui usaha sama ini," katanya kepada pemberita selepas pelancaran program penghantaran Produk 100 Champion itu di sini. Turut hadir Naib Presiden Angkasa Datuk Kamarudin Ismail. "Selepas Brunei, Angkasa akan memasuki pasaran Jepun, China, Korea dan Kemboja. "Sebagai sumbangan kepada negara, peranan gerakan koperasi adalah untuk meningkatkan pertambahan jumlah dagangan antara Malaysia dengan negara-negara Asean," katanya. Sementara itu mengenai Persidangan Acotex 2016, beliau yang juga merupakan Presiden Koperasi se-Asean (ACO) berkata ia bakal menjadi platform bagi koperasi dan rakan kongsi industri untuk menceburi bidang perniagaan yang melibatkan pasaran sasaran iaitu kira-kira 650 juta penduduk Asean. Persidangan tersebut yang melibatkan pameran perdagangan, seminar dan pemadanan perniagaan akan berlangsung pada 1 hingga 4 Ogos di Jakarta, Indonesia. "Seramai 36 pempamer dari Malaysia akan mengambil bahagian dalam program empat hari itu," katanya.