KUALA LUMPUR: Syarikat multinasional perisian komputer Adobe telah dinamakan sebagai pemimpin dalam laporan Suit Perisian Pemasaran Perusahaan oleh Forrester Research, Inc. Menurut Adobe, ia menerima markah tertinggi dalam penilaian yang dibuat oleh firma penyelidikan itu ke atas sembilan pembekal suit pemasaran perusahaan paling signifikan merentasi 40 kriteria, termasuk tawaran semasa, strategi dan kehadiran pasaran. Naib Presiden Pemasaran Awan Adobe, Suresh Vittal berkata dalam era digital hari ini, jenama-jenama yang akan berjaya biasanya menerajui dengan pengalaman serta memuaskan hati pelanggan melalui titik sentuhan. "Kami percaya pengiktirafan yang diberi dalam laporan Forrester mengesahkan kepimpinan kami dalam membantu syarikat-syarikat berubah menjadi Perniagaan Pengalaman," katanya. Forrester berkata ia mentakrifkan suit perisian pemasaran perusahaan sebagai portfolio bersepadu produk teknologi pemasaran yang memberikan analisis, automasi dan pengorkestraan interaksi pelanggan berteraskan visi untuk menyokong pemasaran masuk dan keluar. Pada era pelanggan hari ini, perniagaan ke pengguna (B2C), pemasar perlu memiliki ekosistem teknologi pemasaran yang unik bagi memacu pengalaman pelanggan yang relevan. Adobe berkata beribu-ribu jenama bergantung kepada penyelesaian pemasaran digitalnya, termasuk dua pertiga daripada Fortune 50 dan 10 media terbesar dalam perkhidmatan kewangan, syarikat kenderaan, pengurusan kekayaan dan telekomunikasi. Katanya, 'Adobe Marketing Cloud' menyokong 41 trilion transaksi dan 4.1 permintaan media beraneka setahun serta menguruskan 100 bilion e-mel dalam 2015. Pelanggan Adobe terdiri daripada Comcast, DuPont, Fairfax Media New Zealand, Hyatt Hotel Corporation, John Lewis, Lenovo, L'Occitane, MGM Resorts International, NBC Universal, National Bank of Abu Dhabi, NetApp, Renault, The Royal Bank of Scotland, Scottrade, T-Mobile, Tumi dan Vodafone Ireland.