suria

Bank Pusat Berkemungkinan Terus Kurangkan Kadar Pinjaman

KUALA LUMPUR: Ketika pasaran ekuiti dan industri kewangan menyerap keputusan mengejut Bank Negara Malaysia (BNM) yang menurunkan kadar pinjamannya, kalangan firma penyelidikan telah sedia menjangka kadar itu akan terus dikurangkan dalam memastikan ekonomi domestik berada dalam landasan pertumbuhan mampan.

Matlamat bank pusat, khususnya, adalah untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia, yang diunjur berkembang antara 4.0 dan 4.5 peratus tahun ini.

Hong Leong Bank berpendapat, bank pusat telah mengambil langkah awal untuk berhati-hati terhadap risiko dan kesan yang timbul daripada pungutan suara undian Brexit (Britain keluar dari Kesatuan Eropah).

Pada akhir mesyuarat dasar monetari dua hari semalam, BNM mengumumkan penurunan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus, pertama kali sejak 2009, untuk memastikan ekonomi kekal pada laluan pertumbuhan kukuh.

Dari April 2006, OPR bergerak setinggi 3.50 peratus sehingga Oktober 2008 dan turun serendah 2.0 peratus pada Februari 2009 dan kemudian meningkat secara berkadar sehingga 3.25 peratus sebelum penurunan semalam.

Menurut Hong Leong Bank, kenyataan dasar monetari BNM itu menandakan bahawa langkah seterusnya banyak bergantung kepada petunjuk ekonomi akan datang, sebagai tambahan kepada keadaan monetari dan kewangan.

"Menyedari risiko ke bawah kepada pertumbuhan domestik, yang timbul daripada ketidaktentuan domestik dan cabaran luaran, kami berpandangan pelonggaran dasar seterusnya mungkin dilaksanakan," menurut bank itu dalam satu nota penyelidikan yang dikeluarkan hari ini.

Mesyuarat dasar monetari akan datang dijadual pada 7 Sept, 2016.

Di samping itu, unjuran kenaikan kadar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat yang semakin berkurangan turut memberi lebih peluang BNM untuk menurunkan kadar kepada lebih rendah.

Sementara itu Naib Presiden FXTM bagi Pembangunan Korporat dan Penyelidikan Pasaran, Jameel Ahmad berkata prospek pertumbuhan global dan domestik sedia lemah berikutan pelbagai cabaran, dan hasil keputusan pungutan suara EU itu menjejaskan lagi keadaan.

"BNM telah merendahkan penilaiannya terhadap unjuran ekonomi dalam negara," menurutnya, dengan menambah, ketidaktentuan persekitaran global boleh mempengaruhi prospek pertumbuhan Malaysia.

"Mesyuarat dasar monetari akan terus memantau dan menilai imbangan risiko yang menyelubungi unjuran pertumbuhan domestik dan inflasi.

"Melalui penurunan kadar, bank pusat berusaha untuk menarik lebih banyak pinjaman domestik dengan harapan dapat melonjakkan unjuran pertumbuhan ketika persekitaran ekonomi global itu sendiri masih tidak menentu," katanya.

Beliau berkata pasaran ekuiti tempatan dijangka diniagakan tinggi didorong laporan berkenaan memandangkan langkah rangsangan itu dilihat sebagai usaha positif untuk menggalakkan pertumbuhan, dan ia secara amnya adalah bagaimana reaksi pasaran ekuiti di peringkat global.

"Ringgit Malaysia dilihat meningkat sedikit selepas keputusan berkenaan.

"Bagaimanapun, ini mungkin disebabkan minat risiko yang meningkat di seluruh pasaran global susulan kebimbangan terhadap hasil keputusan pungutan suara EU yang mula reda," katanya.

Pada 9 pagi hari ini, unit tempatan diniagakan kukuh pada 3.9600/9650 berbanding dolar Amerika Syarikat daripada 3.9690/9740 pada 5 petang Rabu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain