KUALA LUMPUR: Iris Corp Bhd menjadi antara saham pilihan utama di Bursa Malaysia pada sesi awal hari ini selepas syarikat memperoleh kontrak bernilai RM170 juta bagi membekalkan 2.5 juta pasport elektronik Nigeria. Setakat pukul 9.42 pagi, kaunter naik 1.5 sen kepada 16 sen dengan 36.96 juta saham bertukar tangan. Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Khamis, IRIS Corp menyatakan kontrak tersebut yang ditandatangani dengan firma berpangkalan di Nigeria, IRIS Smart Technologies Ltd, bagi tempoh tiga tahun dari tarikh ditandatangani. "IRIS Corp akan, dari semasa ke semasa, membekalkan dan menyediakan kuantiti e-Pasport tersebut mengikut surat kredit yang dikeluarkan oleh IRIS Smart seperti yang dinyatakan dalam perjanjian itu," kata pereka ePasport pertama dunia dan kad pintar pelbagai guna itu.