suria

TNB Realisasikan Impian Peniaga Kuih Miliki Rumah

PASIR SALAK: Sepasang suami isteri yang berpendapatan kurang RM500 sebulan bagaikan bermimpi apabila hasratnya untuk memiliki rumah yang selesa tercapai setelah Tenaga Nasional Berhad (TNB) membaik pulih kediamannya di Kampung Chui Chak, Langkap dekat sini menerusi Projek Mesra Rakyat (PMR) TNB.

Tan Seng Bee, 54, peniaga kuih yang tinggal bersama tujuh anggota  keluarganya termasuk tiga anak dan dua abangnya yang telah uzur melahirkan rasa syukur dan terharu apabila terpilih menerima bantuan berkenaan.

Katanya keadaan rumah pusaka keluarganya yang berusia lebih 60 tahun, terlalu uzur ibarat menanti rebah dengan bumbung yang bocor, dinding reput dan lantai berlubang sebelum dibina semula terutamanya di bahagian hadapan rumah.

"Sebelum ini memang rumah saya banyak rosak dan bocor terutama atap serta tingkap yang telah pecah sebab saya tidak mampu membaiki rumah pusaka ini.

Malah, ada juga bahagian dinding kayu yang telah roboh dimakan anai-anai.

"Sekarang semua ini sudah dibaiki. Saya mengucapkan terima kasih pada TNB," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan PMR peringkat negeri Perak 2016 dekat sini, Jumaat.

Majlis disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik dan turut dihadiri Ketua Jurutera negeri Bahagian Pembahagian TNB Raja Abd Jalil Raja Zaid.

Sementara itu, Raja Abd Jalil berkata pihak TNB membuat tinjauan ke rumah Tan pada November tahun lalu sebelum kerja-kerja pembaikan dimulakan pada awal Jun tahun ini dan siap sebulan kemudian.

"Kami memperuntukkan dua rumah untuk dibaik pulih pada tahun ini di negeri ini dan ini merupakan penyerahan PMR yang kedua di negeri ini, selepas penyerahan rumah kepada M. Gopal di Kampung Baru, Slim River yang majlis keraiannya diadakan pada 27 Mei lalu," katanya.

Jelas beliau TNB memperuntukkan 24 rumah dibaiki di seluruh negara pada tahun ini.

Projek PMR mula dilaksanakan pada 2012 bagi menyahut saranan kerajaan supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memainkan peranan dalam membantu kerajaan untuk membaiki kediaman golongan sasar berbangsa India dan Cina yang memerlukan.

Ia terdiri daripada penduduk miskin luar bandar, orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal dan warga emas.

Sehingga kini, 72 rumah telah dibaiki melalui projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) tersebut di 12 negeri di Semenanjung Malaysia.

TNB, Kelantan

Artikel Lain