suria

Mara Sumbang 35 Peratus Tenaga Kerja Dalam Industri Negara

KUANTAN: Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyumbang tidak kurang 35 peratus keperluan tenaga kerja mahir kepada pelbagai industri di negara ini setiap tahun, sejak lima tahun lepas.

Pengarah Bahagian Pembangunan Industri dan Infrastrukturnya Zulfikri Osman berkata mereka yang merupakan lepasan pelajar dari institusi pendidikan di bawah Mara itu kebanyakannya menyertai kerjaya dalam bidang pembuatan.

"Kami melahirkan ramai jurutera muda setiap tahun bagi memenuhi keperluan tenaga kerja (mahir) dalam industi di negara ini.

"Ini kerana Mara sememangnya mementingkan pembangunan modal insan yang boleh memberikan manfaat terhadap negara dengan melaksanakan aktiviti pembangunan modal insan ini sejak lima tahun kebelakangan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Jalinan Usahawan Mara bersama pihak industri dan institusi di sini, Khamis.

Sementara itu, Zulfikri berkata penyertaan Bumiputera dalam industri pembuatan yang bernilai tinggi masih sangat rendah setakat ini.

Tanpa menyatakan jumlah, beliau berkata sehubungan itu Mara kini sedang berusaha memperkasa Bumiputera supaya menyertai sektor berkenaan.

"Bagi tujuan ini kami sedang berkolaborasi dengan pemain industri utama di dunia seperti Airbus manakala dalam negara pula kami jalin kerjasama antaranya seperti Sapura Industrial Berhad dan DRB Hicom Berhad," katanya.

Artikel Lain