KUALA LUMPUR: Bank Rakyat, iaitu bank koperasi terbesar di Malaysia telah meluluskan RM21 bilion bagi membiayai produk, termasuk peribadi, rumah, auto dan motosikal, pendidikan, mikro dan kad kredit sehingga 30 September 2016. Ketua Pegawai Operasi, Md Khairuddin Arshad berkata, bank itu telah mencatat 95 peratus sasaran kelulusan untuk pembiayaan produk tahun ini, terutama dipacu oleh peningkatan pertumbuhan pembiayaan peribadi. "Ini disebabkan pemasaran agresif dan usaha promosi daripada awal tahun ini walaupun persekitaran tempatan dan global yang lebih mencabar," katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen #BankRakyatCares di sini, Rabu. Menurutnya, kempen itu bertujuan mempromosi pembiayaan-i pribadi, pembiayaan-i rumah, pembiayaan-i auto dan motosikal, kad-i kredit, kad-i debit, akaun deposit-i berjangka dan broker-i gadai. "Melalui kempen mulai 15 Oktober 2016 hingga 31 Mac 2017 itu kami menyasarkan kelulusan RM5 bilion bagi membiayai produk dan RM3 bilion daripada jumlah itu dijangka dilulus pada suku pertama 2017. "Produk yang kami promosi akan memanfatkan pelanggan bagi merancang kewangan mereka secara berkesan dan ia menawarkan hadiah bernilai hampir RM1 juta," katanya. Md Khairuddin berkata, untuk menyertainya, pelanggan perlu menghantar khidmat pesanan ringkas untuk setiap produk yang dipromosi bank tersebut. Untuk maklumat lanjut mengenai kempen berkenaan, pelanggan boleh melayari laman web korporat Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my atau www.irakyat.com.my, katanya. - BERNAMA