suria

AirAsia Rangkul Dua Anugerah

KUALA LUMPUR: AirAsia sekali lagi dinobatkan sebagai 'Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia' bagi kali keempat di World Travel Awards (Asia  and  Australasia) yang berlangsung di Da Nang, Vietnam pada Sabtu.

Selain anugerah itu, AirAsia turut julung kali meraih anugerah 'Perkhidmatan Dalam Penerbangan Terkemuka Asia' pada acara yang sama.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata kejayaan tersebut menandakan perkhidmatan syarikat itu tidak hanya terbaik dalam kelasnya, malah turut cemerlang dalam kelas tambang rendah dan perkhidmatan penuh.

"Kami hanya baru bermula. Kami sedang usahakan banyak lagi idea yang lebih inovatif untuk menjadikan perkhidmatan dalam penerbangan kami lebih baik," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, World Travel Awards (Asia  and  Australasia) bertujuan mengiktiraf, memberi anugerah serta meraikan kecemerlangan semua sektor dalam industri pengembaraan dan pelancongan di Asia Pasifik.

"Anugerah-anugerah itu dipilih oleh beribu-ribu profesional pengembaraan dan pengguna pelancongan mewah," menurutnya.

Selain itu, syarikat penerbangan berkenaan dinilai berdasarkan kepuasan pelanggan dan kualiti perkhidmatan, prestasi perniagaan keseluruhan, inovasi produk serta pembangunan dan hubungan kakitangan.

Menurut kenyataan itu, penilaian tersebut turut dibuat dari aspek tanggungjawab sosial korporat dan sumbangan kepada masyarakat setempat, komitmen terhadap dasar lestari, serta memenuhi visi korporat jangka panjang. - BERNAMA

AirAsia

Artikel Berikut

Artikel Lain