KUALA LUMPUR:Satu Kod Tata Laku baharu bagi pasaran Wang Borong dan Pertukaran Mata Wang Asing yang akan menetapkan prinsip dan standard jelas yang perlu dipatuhi peserta pasaran dijangka dilancarkan pada Januari 2017, kata Bank Negara Malaysia (BNM). Gabenornya, Datuk Muhammad Ibrahim berkata, BNM melancarkan kertas perundingan mengenai kod baharu itu hari ini. "Tempoh perundingan adalah dalam masa kira-kira sebulan. Kami kemudiannya akan meneliti perkara itu, memuktamadkannya dan mengeluarkannya sebagai versi akhir pada awal Januari tahun depan," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan permeteraian perjanjian kerjasama antara Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dan Persatuan Pasaran Kewangan Malaysia (FMAM) di sini, Isnin. Terdahulu dalam ucapan khasnya, Muhammad berkata, perbincangan aktif antara FMAM dan AICB telah membawa kepada kerjasama rasmi yang bertujuan untuk memantapkan rangka kerja bagi penguatkuasaan kod tata laku anggota mereka. Beliau berkata BNM kini mempelawa peserta pasaran dan orang ramai termasuk perbadanan yang berurusan dengan pasaran kewangan borong untuk mengajukan komen-komen mereka. "Kod tata laku ini akan diguna pakai oleh industri dan mencakupi semua aktiviti dalam pasaran wang dan pertukaran asing, serta, aktiviti entiti dikawal selia dalam pasaran lain. "Justeru, kod tata laku itu juga terpakai bagi syarikat pengurusan dana, perbadanan dan penyedia dagangan elektronik atau sistem pembrokeran yang berurusan dalam pasaran kewangan borong, serta, pemain antara bank dalam pasaran bon," katanya. Muhammad berkata kod tata laku itu akan menetapkan dengan jelas prinsip dan standard yang perlu dipatuhi peserta pasaran serta peranan yang dimainkan persatuan industri dalam memastikan kestabilan pasaran. Beliau berkata ia juga akan termasuk keperluan dipertingkat bagi institusi untuk mempunyai sistem dan kawalan dalaman kukuh bagi melindungi profesionalisme dan intergriti pasaran kewangan. "Dengan kod tata laku itu, kami menjangka komuniti pasaran kewangan akan membangunkan dan mengekalkan budaya korporat yang menekankan kepada kepentingan profesionalisme dan standard beretika, mematuhi undang-undang dan peraturan dan perlindungan pengguna," katanya. Sementara itu, Pengerusi AICB dan Asian Banking School (ABS), Tan Sri Azman Hashim, berkata mekanisme perjanjian kerjasama itu adalah AICB akan menerima Ahli Biasa FMAM sebagai Ahli Bersekutu AICB dengan penyediaan keperluan pembangunan profesional berterusan bagi menyokong pembangunan profesional Ahli FMAM. "Pada masa yang sama, ABS akan menyediakan latihan menerusi bengkel kerja bagi peperiksaan Sijil Pasaran Kewangan Malaysia dan Sijil Profesional Perlindungan Pelaburan bagi FMAM," katanya. -- Bernama