suria

Prospek Minyak Sawit Dijangka Cerah Tahun Depan - MPOB

KUALA LUMPUR: Prospek bagi sektor minyak sawit negara dijangka cerah tahun depan berikutan sokongan permintaan tinggi global.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Dr A. Kushairi Din berkata komitmen Amerika Syarikat dan Indonesia untuk meningkatkan penggunaan biofuel, ditambah dengan sambutan positif China untuk meningkatkan import sawit dari Malaysia akan menjadi rahmat kepada industri. 

Selain dari China, Kesatuan Eropah dan UK adalah antara pengimport minyak sawit utama Malaysia. 

Ini akan membantu meningkatkan eksport minyak sawit termasuk minyak sawit mentah dan minyak sawit diproses dari Malaysia," katanya kepada Bernama di luar acara Seminar Kebangsaan mengenai Perkilangan Minyak Sawit, Penapisan, Alam Sekitar dan Kualiti 2016 (POMREQ 2016) di sini, Selasa.

A. Kushairi berkata permintaan terhadap minyak sayuran masih mengatasi bekalan, dengan nisbah penduduk dunia berbanding pengeluaran minyak sayuran global dianggarkan enam bilion:200 juta tan metrik, manakala pengeluaran minyak sawit global berjumlah kira-kira 60 juta tan metrik. 

Justeru, selain peningkatan permintaan terhadap minyak sayuran, lebih banyak minyak sawit akan digunakan dan ini membantu meningkatkan harganya," katanya.

Sementara itu, beliau juga melahirkan keyakinan pengeluaran minyak sawit Malaysia akan meningkat dalam separuh kedua tahun depan selepas pengeluaran perlahan pada separuh pertama tahun. 

Kesan El Nino dan El Nina telah mengekang pengeluaran tahun ini, meningkatkan stok simpanan negara daripada 1.6 juta tan metrik kepada 1.7 juta tan metrik tetapi masih rendah berbanding nilai ambang pada dua juta tan metrik.

Ini membantu mengekalkan harga komoditi itu antara RM2,800 hingga RM2,900 setan metrik pada masa ini," katanya. 

Bagaimanapun, beliau menegaskan MPOB akan terus menguruskan inventori pada paras semasa tahun depan dengan terus membuat penanaman semula, amalan yang dilaksanakan sejak lima dekad lepas. 

Terdahulu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong berkata permintaan minyak sawit global diunjur berkembang sebanyak 40 peratus lagi kepada kira-kira 78 juta tan metrik menjelang 2020. 

Saya yakin komoditi itu akan kekal sebagai produk penting dalam pasaran minyak dan lemak global bagi menampung peningkatan keperluan penduduk dunia," katanya. 

Ucapan Mah dibacakan oleh timbalannya, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur. -- Bernama

MPOB, kelapa sawit

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain