KUALA LUMPUR: Industri hartanah dijangka kekal suram tahun ini ekoran jualan lemah pada 2016, didorong oleh sentimen lemah yang berpanjangan, kemampuan yang rendah dan penawaran yang meningkat. Dalam nota penyelidikannya pada Selasa, AllianceDBS Research Sdn Bhd berkata, pembeli mungkin mengambil sikap tunggu dan lihat dengan menjangkakan harga jualan akan lebih rendah dalam tempoh terdekat dan sederhana. "Kami masih melihat permintaan kukuh bagi projek-projek baharu terpilih yang menawarkan kedudukan nilai kepada pembeli walaupun pasaran agak lemah. "Ciri berbeza dan harga yang berpacukan nilai kini semakin menguasai senarai keutamaan pembeli berdasarkan sentimen yang semakin lemah," katanya. AllianceDBS berkata pemaju dengan penawaran produk yang tepat di koridor pertumbuhan baharu dengan jumlah penduduk yang besar, dijangka dapat mengekalkan jualan mereka. "Pemaju perlu menyemak semula tawaran produk mereka untuk menggabungkan lebih banyak hartanah bernilai tambah dengan kemudahan gaya hidup yang berlainan yang akan membezakan mereka daripada kos skim perumahan awam yang lebih rendah," katanya.-- Bernama