KUALA LUMPUR: Sektor perbankan dijangka mencatat peningkatan secara beransur-ansur dengan didorong oleh asas-asasnya yang stabil. Profesor Ekonomi di Fakulti Perniagaan Universiti Sunway, Prof Dr Yeah Kim Leng berkata asas-asas stabil itu ditunjukkan dari segi kecukupan modal, kualiti aset memuaskan, kecairan yang kukuh dan keberuntungan munasabah dalam sektor berkenaan. "Susulan pengurangan kos dan penyusunan semula perniagaan oleh beberapa bank pada 2015 dan 2016, kita menjangkakan industri ini berada di kedudukan lebih baik untuk menyediakan lebih banyak pinjaman tahun ini, khususnya kepada segmen perniagaan serta perusahaan kecil dan sederhana," katanya kepada Bernama. Beliau meletakkan unjuran antara enam dan tujuh peratus pertumbuhan pinjaman tahun ini, disokong peningkatan sederhana pertumbuhan ekonomi, permintaan perniagaan dan penguna serta keyakinan pemberi pinjaman. Sementara itu, menurut RHB Research Institute, pertumbuhan pinjaman dijangka lebih perlahan iaitu pada sekitar 3.7 peratus tahun ini berbanding unjuran awal 4.3 peratus yang dibuat pada 2016 dan 7.9 peratus pada 2015. "Ini disebabkan pinjaman isi rumah yang lebih rendah berikutan peraturan pemberian pinjaman lebih ketat serta kekangan pasaran hartanah manakala pinjaman perniagaan menyederhana berpunca daripada kelemahan pertumbuhan ekonomi," menurut firma penyelidikan itu dalam kenyataan pada Selasa. Menurut syarikat itu, pada November 2016, pertumbuhan pinjaman mencatat peningkatan pada 5.3 peratus tahun ke tahun, berbanding 4.5 peratus tahun ke tahun semasa Oktober 2016, disokong peningkatan pinjaman korporat, manakala pinjaman isi rumah masih stabil bagi tempoh berkenaan. Pinjaman korporat berkembang pada kadar lebih pantas iaitu 4.6 peratus tahun ke tahun pada November 2016, dan 2.9 peratus tahun ke tahun semasa Oktober 2016, dipacu terutamanya peningkatan pinjaman yang diberikan kepada sektor pemborongan dan runcit, serta penurunan kecil bagi pinjaman kepada sektor pembuatan. Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan semula pinjaman kepada sektor pengangkutan dan penyimpanan turut menyokong prestasi berkenaan. Mengenai pinjaman sektor isi rumah, RHB Research berkata, ia masih stabil pada 5.4 peratus tahun ke tahun semasa November 2016, tidak berubah dari bulan sebelumnya. Sementara itu Affin Hwang Capital Research mengekalkan prospek pertumbuhan pinjaman pada 2017 sebanyak 4.2 peratus, berdasarkan pertumbuhan 4.6 peratus sektor isi rumah dan 3.7 peratus bagi sektor perniagaan. Menurut firma penyelidikan itu, kekukuhan ekonomi domestik, kecairan yang mencukupi dalam sistem perbankan di samping penyesuaian dasar monetari akan terus menyokong pertumbuhan pinjaman. Affin Hwang Capital mengekalkan saranan 'neutral' ke atas sektor perbankan.-- Bernama