KUALA LUMPUR: Platform perkongsian rumah, Airbnb, membolehkan lebih sejuta wanita di seluruh dunia memperoleh pendapatan melebihi AS$10 bilion (RM44.5 bilion) sejak penubuhannya pada 2008. Dalam satu kenyataan, Airbnb berkata pada 2016, lebih 200,000 pemilik kediaman wanita di seluruh dunia memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya US$5,000 (RM22,240) apabila mereka menjadi pemilik pada platform perkongsian kediaman tersebut. "Di Malaysia, bilangan wanita yang menjadi pemilik kediaman di Airbnb meningkat sebanyak 35 kali ganda sejak 2012, dan biasanya pemilik kediaman wanita di Malaysia memperoleh kira-kira AS$1,536 (RM6,031) setahun," katanya. Airbnb berkata ramai yang mengunakan pendapatan tambahan menerusi platform tersebut bagi membantu menampung perbelanjaan penting dalam kehidupan mereka seperti membayar bil, melakukan perkara yang diminati atau menyokong projek keusahawanan. Selain itu, lebih 50,000 wanita di seluruh dunia dianggarkan menggunakan pendapatan tambahan ini untuk menyokong aktiviti keusahawanan, menjalankan perniagaan atau menambah pelaburan modal bagi perniagaan baharu. "Pemilik kediaman wanita juga menggunakan pendapatan tambahan mereka bagi menyokong pemilikan rumah, khususnya ibu tunggal," katanya. Syarikat ini berkata pendapatan tambahan daripada Airbnb menyediakan bantuan persaraan untuk pemilik kediaman yang lebih tua (berusia 60 tahun dan ke atas), walaupun mereka hanya memperoleh kurang daripada AS$ 6,000 (RM26,688) setahun melalui platform tersebut.-- Bernama